Buletin

MERCEDES-AMG ONE PECAH REKOD TERPANTAS DI NURBURGRING NORDSCHLEIFE, 6 MINIT 35.183 SAAT

Hanya 275 unit sahaja dihasilkan, Mercedes-AMG One merupakan sebuah jentera berprestasi tinggi yang halal dipandu atas jalan raya.

Kekuatannya? Sudah pasti enjin F1 1.6 liter bentangan V6 yang dipadankan dengan empat motor elektrik dan kuasa mencecah 1,049 hp.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2.9 saat, sementara 0-200 km/j pula sekitar tujuh saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 352 km/j.

Dengan trenkuasa yang sangat berkemampuan, tidak menghairankan apabila jentera itu berjaya mengelilingi litar Nurburgring Nordschleife dalam tempoh masa 6 minit 35.183 saat sahaja!

Pemegang rekod terdahulu, Porsche 911 GT2 RS dengan naiktaraf oleh Manthey Racing sekadar mencatatkan masa 6 minit 43.0 saat.

Dalam cubaan yang dilakukan pada 28 Oktober lalu, Mercedes berdepan dengan cabaran seperti litar yang lembap, namun keadaan persekitaran semakin bertambah baik untuk tempoh kurang dari satu jam yang diperuntukkan kepada pasukan tersebut.

Pemandu uji Mercedes-AMG One, Maro Engel hanya sekadar berjaya melakukan empat pusingan sahaja.

“Saya tidak menjangkakan catatan masa sebegitu pantas melihatkan kepada keadaan litar semasa. Di sesetengah seksyen, litar tersebut masih belum kering sepenuhnya. Ia merupakan satu cabaran istimewa,” ujarnya.

Dalam ujian tersebut, Engel berjaya memandu sepantas 338 km/j pada seksyen jalan lurus Döttinger Höhe.

Google ads
Back to top button