Artikel Pilihan

E SCOOTER MERCEDES AMG – KORANG BOLEH BERANGAN JADI LEWIS HAMILTON (VERSI PERLAHAN TENTUNYA)

AMG semua orang kenal dan mereka telah mengeluarkan kereta-kereta yang cukup bergaya. Bukan itu sahaja, mereka melesenkan jenama mereka kepada beberapa produk yang berbeza dan yang terbaru ialah Mercedes-AMG E-Scooter, sebuah kenderaan mobiliti mikro berkuasa elektrik dengan jarak operasi 40 kilometer. Boleh la untuk merayap dalam bandar cari teh tarik.

Skuter ini sebenarnya dihasilkan oleh sebuah syarikat Swiss, Micro Mobility Systems AG. Dilohat daripada gambar-gambar ini ia mempunyai persamaan dengan model Micro Explorer S yang ditawarkan syarikat tersebut. Semestinya logo-logo AMG dan Mercedes pada skuter ini akan menarik lebih banyak perhatian dan lebih…err… mahal.

Ciri teknikalnya memang sama dengan Micro Explorer S. Ia mempunyai suspensi hadapan dan belakang boleh laras, unit paparan kecil dan bar hendal teleskopik. Lampu depan dan belakang semua lengkap tapi yang paling penting ia boleh dilipat sepenuhnya. Senang nak letak dalam but kereta. Beratnya hanyalah sekitar 14.7 kilogram sahaja.

Motor elektriknya menghasilkan 0.7 hp luasa dan mampu mencecah kelajuan maksima 20 km/j. Baterinya mampu menawarkan jarak operasi 40 kilometer dalam mod Eco tetapi akan berkurangan kepada 25 sahaja dalam mod Sports.

Nak berhenti boleh gunakan brek tangan seperti skuter biada ataupun brek kaki pada bahagian belakang seperti kebiasaan pada mana-mana skuter. Pengguna juga boleh menyambung skuter ini kepada telefon pintar mereka menggunakan Bluetooth untuk kawalan, navigasi dan data pemanduan.

Harganya belum didedahkan tapi kalau dah ada logo Mercedes-AMG jelas sekali ia tak murah. Mampu boleh beli dan kalau tak mampu macam kami duduk je idam tengok dari tepi.

Google ads
Back to top button