
MERCEDES-AMG CLE 53 4MATIC+ CABRIOLET 2025, SENSASI ANGIN MEMBELAH RAMBUT!
Pada Disember 2023 Mercedes-Benz memperkenalkan Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ yang menyusuli CLE pada Jun dan menggantikan dua model sekaligus iaitu C-Class dan E-Class coupé.
Siri CLE bersambung lagi melalui model terbaru Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Cabriolet yang pastinya mempunyai sensasi angin membelah rambut apabila bumbung dibuka.
Seperti kembar berbumbung keras, model cabriolet ini menggunakan enjin M256M 3.0 liter turbo enam silinder sebaris yang menghasilkan 449 kuasa kuda (hp) dari 5,800 sehingga 6,100 rpm.
Daya kilas 550Nm dari 2,200 sehingga 5,000 rpm dan pemandu berpeluang menikmati lonjakan 600Nm buat seketika atau sehingga 10 saat.
Selain pengecas turbo, enjin M256M turut dilengkapi pemampat elektrik yang membantu dalam penjanaan daya kilas.
Enjin turut dilengkapi sistem elektrikal 40 volt dengan penjana penghidup bersepadu (ISG) yang memiliki kuasa 17 kW (23 hp) dan tork 205Nm dan menjadikannya sebagai jentera mild-hybrid.
Enjin dipadan bersama kotak gear AMG SPEEDSHIFT TCT 9G dan pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+.
Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) memerlukan 4.4 saat atau 4.2 saat tanpa mode RACE START. Kelajuan tertinggi dihadkan kepada 250 km/j.
Pemandu mempunyai lima mod AMG DYNAMIC SELECT iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual.
Setiap tetapan mempunyai karakter tersendiri dari segi tindak balas enjin, transmisi, ampaian dan stereng.
Sistem kawalan pemanduan AMG DYNAMICS disatukan di dalam mod AMG DYNAMIC SELECT.
Di dalam tetapan Basic, Advanced dan Pro sistem akan mempengaruhi aturan program penstabilan elektronik (ESP®) dan pacuan semua roda.
Sistem AMG Performance 4MATIC+ hanya berfungsi dalam mod semua roda apabila diperlukan sebagai contoh gandar depan dipisahkan apabila dipandu dalam keadaan biasa.
Di dalam mod ESP Sport dan ke atas, pembahagian tork dilebihkan pada roda belakang. Di dalam mod drift hanya roda belakang digerakkan.
Dari segi pengendalian, kereta ini menggunakan ampaian AMG RIDE CONTROL dan pemandu mempunyai tiga mod iaitu Comfort, Sport dan Sport+ untuk menyesuaikannya mengikut keadaan.
Turut membantu pengendalian termasuk pusingan lebih singkat dan parkir ialah sistem belokan roda belakang sehingga 2.5 darjah.
Pada kelajuan melebihi 100 km/j roda akan membelok seperti roda depan sehingga 0.7 darjah. Tindak balas pembelokan roda bergantung kepada mod AMG DYNAMIC SELECT yang dipilih.
Tugas memperlahankan kereta diberi kepada sistem brek prestasi tinggi AMG dengan angkup kekal empat omboh dan cakera 360 milimeter (mm) x 26 mm dan angkup terapung satu omboh di belakang.
Dari segi casis, sebagai sebuah cabriolet kereta ini telah menjalani proses pengukuhan badan.
Turut dilengkapi sistem perlindungan terbalik (rollover) dan bersama tiang A yang tegar mewujudkan ruang untuk keselamatan pemandu dan penumpang.
Bumbung fabrik boleh dipesan dalam warna hitam, merah atau kelabu. Tempoh buka dan tutup dalam tempoh 20 saat pada kelajuan sehingga 60 km/j.
Ruang bagasi mempunyai kapasiti 385 liter atau 295 liter apabila bumbung dibuka dan kerusi belakang boleh dipisah secara 60:40.
Untuk pelanggan yang mahukan cabriolet mereka tampil istimewa, Mercedes menawarkan Pro Performance Package dan AMG Styling dengan sistem elektronik serta perkakasan lebih sporti.




















