
MERCEDES-AMG BAKAL PERKENALKAN SUV ELEKTRIK BERKUASA LEBIH 1,100HP, 0-100KM/J 2.4 SAAT
Mercedes-AMG semakin hampir memperkenalkan sebuah SUV elektrik berprestasi tinggi yang dijangka menjadi antara model paling berkuasa pernah dihasilkan jenama itu.
Selepas pelancaran GT 4-Door generasi baharu pada Mei lalu, pengeluar dari Jerman itu kini mula mendedahkan imej acah bagi versi SUV yang bakal melengkapkan keluarga model berkenaan.
Menerusi gambar yang dikongsi di media sosial, SUV coupe tersebut menampilkan rekaan agresif dengan gril hadapan lebar yang diapit lampu nyalaan siang (DRL) bercorak bintang. Bahagian hadapan turut menampilkan bonet panjang, lengkungan roda yang menonjol serta garis bumbung condong, sekaligus memberi imej sporty.
Di belakang, reka bentuknya dipercayai berkongsi DNA dengan GT 4-Door, namun hanya sepasang lampu belakang bulat dengan grafik bintang dapat dilihat buat masa ini. Penampilannya jelas memberi bayangan bahawa model ini dibangunkan sebagai SUV berprestasi tinggi berasaskan platform elektrik terkini AMG.

Walaupun ruang kabin masih dirahsiakan, SUV ini dijangka menerima susun atur dalaman yang sama seperti GT 4-Door baharu.
Antara ciri yang dijangka ditawarkan termasuk kluster instrumen digital 10.2-inci, skrin infotainmen 14-inci serta skrin penumpang hadapan 14-inci. Ia juga berkemungkinan dilengkapi tempat duduk sport, stereng rata di bahagian bawah, pengecas telefon pintar tanpa wayar berkembar dan sistem pencahayaan ambien.
Turut dijangka hadir ialah bumbung kaca panoramik Sky Control yang boleh bertukar daripada lutsinar kepada legap hanya dengan satu sentuhan butang.
Dari segi prestasi, versi asas AMG 53 dijangka menggunakan bateri berkapasiti sekitar 106kWh bersama sistem pacuan semua roda dua motor elektrik.
Gabungan ini menghasilkan kuasa 536hp dan tork 800Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 3.9 saat serta kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik kepada 250 km/j.

Model tersebut juga dijangka menawarkan jarak perjalanan sehingga 809 kilometer mengikut kitaran WLTP.
Dengan sokongan pengecasan pantas DC sehingga 600kW, baterinya mampu menambah jarak sekitar 534 kilometer dalam hanya 10 minit.
Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih ekstrem, Mercedes-AMG dijangka menawarkan varian AMG 63 yang menggunakan tiga motor elektrik jenis axial flux. Sistem ini mampu menjana kuasa luar biasa sehingga 1,153hp dan tork mencecah 2,000Nm.
Angka tersebut membolehkan SUV berkenaan memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 2.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 300 km/j.
Walaupun menawarkan prestasi setaraf supercar, model ini masih mampu mencatat jarak perjalanan sehingga 696 kilometer dengan sekali cas penuh.
Dengan gabungan reka bentuk coupe, teknologi elektrik terkini dan kuasa melebihi 1,100hp, SUV baharu Mercedes-AMG ini berpotensi menjadi pencabar serius dalam segmen SUV elektrik berprestasi tinggi apabila diperkenalkan secara rasmi tidak lama lagi.






