
MERCEDES-AMG LANCAR A 45 S, CLA 45 S “EDITION 55”
Bersempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-55, Mercedes-AMG memperluaskan penawaran model edisi terhad Edition 55, kali ini menerusi model A 45 S dan CLA 45 S.
Varian yang paling berkuasa dalam keluarga kompak itu boleh didatangkan dengan warna Cosmos Black metallic atau Digital white metallic, diikuti dengan paparan grafik decal pada bahagian sisi.
Seperti biasa, A 45 S dan CLA 45 S membawakan penampilan yang agresif terima kasih kepada pakej AMG Aerodynamics yang merangkumi splitter depan, cannard, sayap belakang, serta bilah diffuser.

Selain itu, model Edition 55 turut dilengkapi dengan AMG Night Package II dengan membawakan kemasan hitam berkilat pada bahagian gril, liang kemasukan, splitter, pelindung cermin sisi dan trim tingkap, diikuti dengan kemasan krom hitam pada tip ekzos.
Sebagai pengakhiran, rim AMG 19 inci dipadankan dengan kemasan titanium gray, serta penutup tengah dengan elemen “Edition 55”.

Untuk kemasan kabin, tema merah dan hitam banyak menguasai ruang tersebut, diikuti dengan lencana Edition 55, serta plet ambang pintu dengan logo AMG beriluminasi.
Kedua-dua model hadir dengan enjin M139 2.0 liter turbo yang mampu menjana 415 hp dan daya kilas 500 Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar automatik lapan kelajuan, serta sistem pacuan semua roda 4MATIC+.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.9 saat (4.0 saat untuk CLA 45 S), dengan kelajuan tertinggi 270 km/j.
Harga jualan masih belum didedahkan buat masa ini.





