
LOTUS EMIRA 420 SPORT DILANCARKAN – JANA 420HP, HARGA MULA RM488K
Lotus memperkenalkan Emira 420 Sport sebagai versi lebih agresif dan berprestasi tinggi bagi barisan Emira 2025, dengan fokus utama terhadap pengurangan berat serta peningkatan pengendalian.
Model baharu ini dibangunkan berasaskan Emira Turbo SE, namun menerima pakej khas yang berjaya mengurangkan berat keseluruhan sebanyak 25kg sambil menambah 25kg daya mendap untuk kestabilan lebih baik pada kelajuan tinggi.
Dari segi rekaan, Emira 420 Sport masih mengekalkan bentuk asas model sedia ada, tetapi beberapa sentuhan aerodinamik baharu telah ditambah.
Antaranya termasuk splitter depan lebih panjang, side skirt baharu dan rekaan saluran udara yang dipertingkatkan bagi meningkatkan aliran udara ke radiator.

Lotus mendakwa sistem penyejukan kini lebih efisien dengan peningkatan aliran udara sehingga 15 peratus pada radiator sisi dan 14 peratus pada radiator tengah.
Bahagian belakang pula menerima tailgate jenis louvre yang bukan sahaja memberi penampilan lebih sporty, malah membantu meningkatkan penyejukan brek sekitar 10 peratus.
Sistem ekzos turut menerima aliran udara lebih baik sehingga 30 peratus. Satu lagi ciri menarik ialah panel bumbung kaca gelap yang boleh ditanggalkan, membolehkan pemilik menukar gaya kereta daripada coupe kepada seakan convertible dalam masa singkat. Panel tersebut juga boleh disimpan dalam beg khas di belakang tempat duduk.
Ruang kabin masih mengekalkan susun atur moden Emira dengan paparan meter digital serta skrin sentuh tengah bersaiz 10.25-inci.

Unit yang dipamerkan hadir dengan pakej “Hand Painted Pack” yang menampilkan kemasan warna Tangelo orange pada beberapa bahagian dalaman seperti tali pinggang keledar, corong pendingin hawa, stereng, tuil gear dan panel konsol tengah.
Di bahagian enjin, Emira 420 Sport masih menggunakan enjin 2.0 liter turbo dengan konfigurasi enjin tengah dan pacuan roda belakang.
Kuasa kini ditingkatkan kepada 420hp bersama tork maksimum 500Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan.
Untuk pengendalian lebih tajam, Lotus turut merendahkan ketinggian suspensi sebanyak 5mm selain melengkapkan model ini dengan penyerap hentak Multimatic boleh laras dua hala.
Lotus sudah membuka tempahan awal untuk Emira 420 Sport di pasaran antarabangsa dengan harga permulaan sekitar AS$122,900 (RM488,957).



