Buletin

PERODUA LANCAR APLIKASI SEWA KENDERAAN ‘UCar-e’ UNTUK PELAJAR DAN WARGA UNIVERSITI

Perodua terus mengorak langkah dalam sektor mobiliti apabila memperkenalkan aplikasi sewa kenderaan digital dikenali sebagai UCar-e di tiga institusi pengajian tinggi tempatan terpilih.

Inisiatif yang dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia menerusi Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) itu bertujuan memudahkan pergerakan pelajar serta kakitangan di dalam kawasan kampus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, sebanyak 50 unit kenderaan Perodua disediakan pada peringkat awal bagi menyokong pelaksanaan program tersebut.

Menurut beliau, pengguna boleh membuat tempahan kenderaan melalui aplikasi UCar-e sebelum mengakses dan menggunakannya untuk urusan harian seperti bergerak dari kolej kediaman ke fakulti, dewan kuliah atau lokasi lain di dalam kampus.

“Melalui aplikasi ini, pengguna boleh mengenal pasti lokasi kenderaan yang tersedia dan mendapatkan panduan berkaitan kawasan parkir yang dibenarkan untuk memulangkan semula kenderaan selepas digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran UCar-e di Inasis Perodua, UUM yang turut dihadiri Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Zainal Abidin menjelaskan bahawa sistem berkenaan dibangunkan bagi memastikan proses penyewaan kenderaan menjadi lebih mudah dan mesra pengguna, khususnya dalam kalangan warga universiti.

Menariknya, Perodua turut melibatkan pelajar dalam pengurusan operasi perkhidmatan tersebut. Mereka akan diberi tanggungjawab memantau keadaan kenderaan termasuk aspek kebersihan, tahap bahan api dan penyelenggaraan asas.

Sebagai ganjaran, pelajar yang terlibat akan menerima komisen, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan sampingan sambil memperoleh pengalaman dalam bidang pengurusan dan keusahawanan.

Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja membantu kelancaran operasi perkhidmatan, malah memberi pendedahan awal kepada golongan muda mengenai pengurusan perniagaan dan tanggungjawab profesional.

Perkhidmatan UCar-e dijangka mula beroperasi pada Jun 2026 dengan pelaksanaannya dibuat secara berperingkat mengikut tahap kesiapsiagaan setiap universiti yang terlibat.

Pengenalan aplikasi tersebut merupakan sebahagian daripada strategi Perodua di bawah konsep “Mobility as a Lifestyle”, yang memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan mobiliti moden selari dengan perubahan corak penggunaan dan gaya hidup masyarakat masa kini.

Zainal Abidin berkata, generasi muda kini semakin cenderung memilih akses kepada pelbagai pilihan mobiliti berbanding memiliki kenderaan sendiri, terutama disebabkan faktor kos pemilikan, kekurangan ruang parkir dan kesesakan lalu lintas.

Beliau yakin inisiatif UCar-e mampu menawarkan alternatif yang lebih praktikal kepada warga kampus, selain menjadi asas kepada pengembangan pelbagai perkhidmatan mobiliti baharu dalam ekosistem perniagaan Perodua pada masa hadapan.

Google ads
Back to top button