Artikel Pilihan

4 TAYAR KERETA KENA GUNA CORAK BUNGA SAMA?

Ramai pemilik kereta pernah berdepan dalam situasi di mana hanya satu atau dua tayar perlu ditukar akibat kebocoran, kerosakan atau kehausan yang tidak sekata. Dalam keadaan ini, ada yang memilih untuk memasang tayar daripada jenama atau model yang berbeza bagi menjimatkan kos.

Namun, adakah tindakan tersebut selamat, dan adakah keempat-empat tayar pada sesebuah kenderaan perlu menggunakan corak bunga (tread pattern) yang sama?

Menurut pakar industri tayar dan beberapa pengeluar tayar terkemuka dunia termasuklah Continental dan Michelin, jawapannya adalah ya masih selamat.

Penggunaan empat tayar yang mempunyai spesifikasi sama termasuk jenama, model, saiz, indeks beban, rating kelajuan dan corak bunga adalah pilihan terbaik untuk memastikan prestasi serta tahap keselamatan kenderaan berada pada tahap optimum.

Corak bunga tayar memainkan peranan penting dalam menentukan bagaimana tayar berinteraksi dengan permukaan jalan. Ia bukan sekadar elemen kosmetik, sebaliknya bunga tayar direka untuk menguruskan aliran air, menghasilkan cengkaman ketika membrek, meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh dan mengurangkan risiko aquaplaning ketika hujan.

Secara umumnya, terdapat beberapa jenis corak bunga tayar yang biasa digunakan. Corak simetri (symmetrical tread) sering ditemui pada kebanyakan kereta penumpang kerana menawarkan ketahanan yang baik dan mudah untuk proses rotasi tayar.

Corak asimetri (asymmetrical tread) pula direka untuk memberikan keseimbangan antara prestasi di jalan kering dan basah, manakala corak directional atau sehala biasanya menawarkan keupayaan penyaliran air yang lebih baik ketika memandu dalam cuaca hujan.

Disebabkan setiap corak bunga mempunyai ciri dan tingkah laku tersendiri, penggunaan corak yang berbeza pada satu kenderaan boleh menyebabkan tindak balas pengendalian menjadi tidak sekata.

Sebagai contoh, tayar di bahagian depan mungkin mempunyai tahap cengkaman yang berbeza berbanding tayar belakang ketika mengambil selekoh atau melakukan brek kecemasan. Keadaan ini berpotensi mengubah keseimbangan kenderaan dan mengurangkan keyakinan pemandu terutama dalam situasi kecemasan.

Walaupun begitu, pakar mengakui terdapat situasi di mana pemilik kenderaan tidak mempunyai pilihan selain menggunakan tayar yang berbeza. Dalam kes sebegini, perkara paling penting ialah memastikan dua tayar yang dipasang pada gandar yang sama adalah sepadan. Ini bermaksud tayar kiri dan kanan di bahagian depan perlu menggunakan model yang sama, manakala tayar kiri dan kanan di bahagian belakang juga perlu sepadan antara satu sama lain.

Pendekatan ini dianggap sebagai kompromi yang lebih selamat berbanding memasang tayar berlainan pada kiri dan kanan gandar yang sama. Dengan cara ini, karakteristik cengkaman dan tindak balas tayar masih kekal seimbang di kedua-dua belah kenderaan.

Bagi pemilik kenderaan pacuan semua roda (AWD) dan pacuan empat roda (4WD), penggunaan tayar yang tidak sepadan boleh mendatangkan risiko yang lebih besar. Sistem AWD dan 4WD sangat bergantung kepada keseragaman diameter tayar untuk beroperasi dengan betul. Perbezaan kecil pada corak bunga atau tahap kehausan boleh menyebabkan diameter keseluruhan tayar berubah, sekali gus memaksa differential dan komponen drivetrain bekerja lebih keras daripada yang sepatutnya.

Dalam jangka masa panjang, keadaan ini boleh meningkatkan kehausan komponen mekanikal dan berpotensi menyebabkan kerosakan yang memerlukan kos pembaikan yang tinggi. Oleh sebab itu, kebanyakan pengeluar kenderaan AWD mengesyorkan supaya keempat-empat tayar ditukar serentak apabila perlu.

Namun begitu, penggunaan tayar daripada jenama yang berbeza tidak semestinya berbahaya jika dilakukan dengan betul. Sekiranya saiz tayar, indeks beban, rating kelajuan dan jenis tayar adalah sama, penggunaan dua jenama berbeza masih boleh diterima untuk penggunaan sementara atau dalam keadaan tertentu.

Walau bagaimanapun, ia tetap bukan penyelesaian ideal untuk jangka panjang kerana setiap pengeluar menggunakan reka bentuk dan kompaun getah yang berbeza. Amalan terbaik adalah menggunakan empat tayar yang sama dari segi jenama, model dan corak bunga bagi memastikan prestasi, kestabilan dan keselamatan kenderaan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Jika bajet tidak mengizinkan untuk menukar keempat-empat tayar sekali gus, sekurang-kurangnya pastikan tayar pada gandar yang sama menggunakan spesifikasi yang sepadan. Langkah ini mungkin kelihatan kecil, namun ia boleh memberi perbezaan besar terhadap keselamatan dan pengalaman pemanduan setiap hari.

Google ads
Back to top button