
MICHELIN PRIMACY 3 ST
Sedia maklum bahawa Michelin merupakan pembuat tayar yang inovatif. Produk yang ditawarkannya merupakan hasil daripada penyelidikan teknologi termaju dan memenuhi ekspektasi penggunanya.
Terbaharu, Michelin menawarkan Michelin Primacy 3 ST. Tahukah anda bahawa untuk membangunkan tayar ini, Michelin telah menjalankan ujian perjalanan sejauh lebih 1.3 kilometer? Tayar ini juga menjalani ujian selama enam bulan di Malaysia dengan kerjasama sebuah syarikat perkhidmatan kenderaan.
Hasilnya, jangka hayat Michelin Primacy 3 ST adalah 25 peratus lebih lama berbanding rangkaian Michelin Primacy LC. Sebenarnya, Primacy 3 ST ialah tayar yang menggantikan tayar Primacy LC. Ditawarkan oleh Michelin Malaysia Sdn. Bhd. (Michelin Malaysia), Primacy 3 ST didakwa telah menetapkan penanda aras yang baru dalam rangkaian tayar sedia ada di pasaran.
Tayar ini dikatakan lebih senyap, selesa, selamat dan tahan lama. Justeru, ia ideal untuk keadaan jalan dan cuaca di rantau Asia Pasifik termasuklah Malaysia.
Michelin Primacy 3 ST disasarkan untuk kategori kereta penumpang berprestasi tinggi dan mengaplikasikan empat teknologi utama Michelin. Teknologi EvenPeak berperanan membantu mengurangkan bunyi ketika kenderaan bergerak.
Ia dilaksanakan melalui corak bunga yang unik bersama spektrum saiz blok bunga lebih luas. Maka, bunyi dapat diagihkan menerusi julat frekuensi, lalu menjadikannya lebih senyap. Sebab itulah Michelin menggunakan singkatan ST pada tayar ini yang bermaksud Silence Tuned.
CushionGuard pula adalah teknologi yang membantu meningkatkan aspek keselesaan. Ia dilaksanakan melalui gabungan sebatian bunga tayar yang fleksibel. Selain dinding sisi tayar yang mampu menyerap hentakan. Manakala getah penyerap bunyi pula mampu menampan getaran ketika menyusuri jalan tidak rata.
Inovasi seterusnya adalah Stabiligrip dan Flex Max. Kedua-dua teknologi tersebut bertanggungjawab mengurangkan jarak membrek sehingga 1.6 meter di atas permukaan jalan basah berbanding model tayar sebelumnya.
Michelin Primacy 3 ST ditawarkan dalam pilihan saiz 16 inci hingga 19 inci. Ia boleh didapati di semua wakil penjual sah Tyreplus dan Michelin di seluruh negara. Harga jualan yang disyorkan bermula RM480 seunit.
Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.michelin.com.my











