
NISSAN SERENA S-HYBRID
Nissan tidak pernah memperkenalkan model hibrid kepada pengguna tempatan. Pengedarnya, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) dilihat lebih fokus untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kecanggihan model elektrik sepenuhnya iaitu LEAF.
Namun, situasi itu akan berubah tidak lama lagi. ETCM dijadual memperkenalkan MPV Nissan Serena Smart Hybrid (S-Hybrid) untuk sama-sama berkongsi insentif pengecalian cukai kerajaan ke atas model hibrid bersesaran bawah 2,000cc yang bakal berakhir pada 31 Disember 2013.
Nissan Serena S-Hybrid yang memiliki kapasiti lapan tempat duduk ialah MPV hibrid pertama di Malaysia. Baru-baru ini, Mekanika Malaysia diberi peluang untuk melihat secara dekat jentera tersebut dalam satu sesi previu eksklusif di Country Heights, Kajang, Selangor.
Previu itu turut melibatkan proses pembikinan videonya yang bertemakan tema “Temui Hibrid – Keluarga Zaman Baru, MPV Zaman Baru” (Meet The Hybrids – New Age Family, New Age MPV).
MPV ini dikuasakan oleh unit enjin MR20DD bersesaran 2.0 liter berkuasa 147PS dan tork 210Nm. Enjin ini kemudian dipadankan bersama kotak gear Xtronic CVT.
Untuk makluman, Nissan Serena S-Hybrid sudah dibuka untuk tempahan. Dengar cerita angka tempahan yang diterima agak memberangsangkan. Bagi merancakkan lagi tempoh jualan pra-pelancaran, ETCM menawarkan promosi menarik untuk semua pembeli terawal. Promosi tersebut melibatkan pakej insurans kemalangan peribadi pemandu, kadar faedah sewa beli yang rendah dan satu pakej servis percuma.
Harus diingatkan bahawa model yang anda lihat di sini dilengkapi dengan aksesori penuh. Ia mungkin akan ditawarkan oleh ETCM secara berasingan. Nantikan laporan penuh mengenai Nissan Serena S-Hybrid di laman web ini tidak lama lagi!
[hr] Galeri











