Buletin

DULU BUANG, KINI BERNILAI: MINYAK MASAK UBAH INDUSTRI TAYAR

Industri tayar kini melangkah ke arah lebih lestari dengan memanfaatkan bahan buangan yang sebelum ini dianggap tidak bernilai, termasuk minyak masak terpakai.

Beberapa tahun lalu, penggunaan minyak masak terpakai sebagai pengganti diesel dalam kenderaan pernah mencetuskan kebimbangan, khususnya terhadap enjin moden.

Namun hasil penyelidikan berterusan telah membawa kepada pengenalan diesel campuran biodiesel seperti B7, yang selamat digunakan dan boleh merangkumi sumber daripada minyak masak terpakai.

Kini, pendekatan sama mula diterapkan dalam industri pembuatan tayar. Syarikat seperti Continental giat menggunakan minyak masak terpakai sebagai bahan mentah untuk menghasilkan getah sintetik.

Pembuatan tayar sebenarnya melibatkan pelbagai komponen seperti keluli, tekstil, karbon hitam dan silika.

Getah menjadi antara bahan utama, merangkumi sekitar 40 peratus daripada berat keseluruhan tayar. Malah, sehingga 100 jenis bahan mentah boleh digunakan untuk menghasilkan kira-kira 20 jenis kompaun getah berbeza, bergantung kepada kegunaan tayar tersebut.

Dalam usaha meningkatkan kelestarian, bahan tambahan kitar semula kini digunakan dengan lebih meluas dalam kompaun getah, manakala resin boleh dikitar semula membantu meningkatkan keanjalan serta prestasi tayar.

Dari segi struktur, tayar menggunakan dua jenis getah utama. Getah asli biasanya digunakan pada bahagian bunga tayar kerana sifatnya yang tahan haus dan mampu menahan hentakan.

Keunikan getah asli terletak pada fenomena “penghabluran akibat regangan”, yang memberikan ketahanan tinggi apabila ia diregangkan, satu ciri yang sukar ditiru secara sintetik.

Sementara itu, getah sintetik digunakan pada bahagian dinding sisi serta digabungkan dalam bunga tayar untuk meningkatkan prestasi membrek dan mengurangkan rintangan gulungan.

Dalam proses inilah minyak masak terpakai memainkan peranan penting sebagai salah satu bahan mentah, selain minyak pirolisis yang dihasilkan daripada kitar semula tayar lama melalui proses suhu tinggi.

Selain itu, bahan tambahan tertentu yang digunakan untuk melindungi getah daripada haba semasa proses pengvulkanan turut dihasilkan daripada aseton biokitar semula, sejenis bahan yang berasal daripada sisa biologi, termasuk minyak masak terpakai.

Pendekatan ini menunjukkan bagaimana inovasi dalam industri automotif bukan sahaja meningkatkan prestasi produk, tetapi juga membantu mengurangkan impak terhadap alam sekitar dengan memanfaatkan sumber sedia ada secara lebih bijak.

Google ads
Back to top button