
METZELER LANCAR SPORTEC 01 UNTUK JENTERA SUPERSPORT
Metzeler memperkenalkan dua model baharu menerusi SPORTEC 01 dan SPORTEC 01 RS untuk jentera supersport.
Meskipun kedua-duanya berkongsi proses pembangunan yang sama namun Sportec 01 direka untuk kegunaan di jalan sementara Sportec 01 RS diposisikan sebagai tayar berprestasi tinggi yang menawarkan cengkaman terbaik di jalan raya dan litar lumba.
SPORTEC 01

Metzeler SPORTEC 01 dibangunkan khas untuk penunggang yang mahukan prestasi terbaik sewaktu kering tetapi juga menawarkan kawalan jentera yang jitu dalam keadaan basah.
Tayar ini adalah untuk pengguna motosikal jenis supersport, naked dan crossover (sport-touring) yang gemar menunggang laju di laluan berselekoh serta kawasan bandar.
SPORTEC 01 RS

SPORTEC 01 RS pula direka khas untuk penunggang yang berpengalaman terutamanya pengguna jentera supersport dan jentera berprestasi tinggi lain seperti naked dan hypernaked yang mahukan prestasi terbaik bukan sahaja di jalan raya malah di litar lumba.
Model ini memfokuskan cengkaman terbaik dalam keadaan jalan yang kering sekaligus meningkatkan kecekapan menunggang dan kawalan yang lebih agresif.

Menurut Metzeler, kedua-dua tayar mengaplikasikan konsep rekaan yang sama antara bahagian hadapan dan belakang pada kedua-dua tayar bagi memberikan karakter yang lebih konsisten ketika membrek dan memecut.
SPORTEC 01 menggunakan corak bunga tayar yang direka semula untuk meningkatkan keupayaan aliran air, kestabilan arah serta prestasi dalam keadaan basah dan kering ketika tunggangan sporty.

Alur tayar direka untuk berfungsi secara progresif apabila sudut condong meningkat, membantu tayar cepat mencapai suhu operasi yang optimum di samping meningkatkan cengkaman.
Sementera SPORTEC 01 RS berfungsi seperti tayar slick dengan menawarkan kawasan sentuhan (contact patch) yang lebih besar dalam keadaan kering serta lebih melekat apabila ditunggang secara agresif.







