
MITSUBISHI DST KONSEP – SUV 7-TEMPAT DUDUK UNTUK PASARAN ASIA
Mitsubishi baru sahaja dedahkan DST, SUV konsep dengan 3-baris tempat duduk di Philipine International Motor Show. Ia bukan sekadar tarikan semata-mata tapi mereka mengesahkan ia bakal dijelmakan menjadi model produksi sebenar dan disasarkan untuk rantau Asia. Ia dikatakan bakal muncul pada tahun 2025 sebagai satu langkah untuk menambah variasi segmen SUV di Asia.

Tambah Mitsubishi lagi, sebaik diproduksikan, model ini bakal menyertai Xforce, Pajero Sport dan Xpander Cross untuk pasaran Asia Tenggara. Ia lebih kepada model tambahan dan bukannya model gantian kepada model sedia ada di pasaran.
Rekaan luar jelas mengikut tema “Gravitas & Dynamism” namun sebaik diproduksikan sudah tentu aka nada sedikit perubahan berbanding model konsep. Rekaan bersegi memang merupakan tema wajib SUV kelas pertengahan yang sudah menjadi acuan Mitsubishi sejak sekian lama.

Gril hadapan menampilkan rekaan sarang lebah yang besar tetapi ditutup sebahagiannya mungkin untuk fungsi aerodinamik. Kemasan krom dan lampu utama LED bentuk T menjadikannya nampak futuristik.
Arca roda yang besar pada bahagian fender mungkin bakal menempatkan tayar yang bersaiz lebih besar dan plet hentaman memberikan ciri rugged pada SUV baharu ini. Tiada pemegang pintu pada model konsep ini tapi bila diproduksikan mesti ada kot. Mahal sangat kalau nak buat macam Range Rover tu.
Menjengah ke bahagian dalam kelihatan penggunaan material yang agak upmarket pada bahagian papan pemuka dan panel pintu. Ia turut dilengkapi dengan kokpit digital dan konsol tengah yang futuristic. Roda stereng pun rekaan terbaru dengan ciri pelbagai fungsi.

Ciri teknikal belum didedahkan sepenuhnya tapi DST menggunakan platform unibody. Enjin pun didedahkan tapi rasanya agak tidak sesuai jika ia dibekalkan dengan enjin 1.5 liter yang sama seperti Xforce. Saiz badannya pun lagi besar berbanding Xforce.
Walaupun ia bakal diberikan tetapan FWD, kelegaan buminya yang agak tinggi memberikan sedikit keyakinan jika terperangkap dalam banjir kilat. Ada lima mod pemanduan yang boleh dipilih (Normal, Tarmac, Gravel, Mud dan Wet). Haa kan dah macam Evo tu.

