
PORSCHE MISSION X – KONSEP HYPERCAR ELEKTRIK BAKAL GEGARKAN NURBUGRING
Jika ada setiap kereta konsep mempunyai tujuan, Mission X cuma ada satu tujuan utama iaitu untuk memecahkan rekod catatan terpantas litar Nurburgring. Nampak poyo je kan? Tapi bukan sesuatu yang mustahil untuk Porsche. Mission X ini didedahkan bersempena dengan ulang tahun ke 75 Porsche sebagai pengeluar kereta sports. Inilah ciri kereta sport dengan pengalaman selama 75 tahun: laju, ringan dan berkuasa elektrik.

Kereta sports konsep ini kelihatan seperti sebuah hovercraft dengan rekaan bumbung yang berbentuk kubah dan mempunyai bukaan pintu seperti sayap lebah. Nampaknya para jurutera Porsche menggabungkan rekaan dengan ciri-ciri model perlumbaan ikonik mereka seperti 917, 959, Carrera GT dan 918 Spyder. Dengan kata lain Mission X merupakan evolusi kepada model-model yang disebutkan tadi.
Ia bukannya sebuah konsep longtail dan dengan jarak tapak roda yang sama dengan Carrera GT dan 918, Mission X boleh dipakir dalam garaj anda tanpa sebarang masalah. Cuma kena mampu beli dulu la.

Antara ciri perlumbaan yang ada padanya ialah lampu utama yang slim dan dihasilkan menggunakan modul LED. Pada waktu siang ia cuma nyalaan sebaris untuk nyalaan siang tapi menjelang malam sebaik lampu dinyalakan, kesemua modul akan terbuka seperti mata yang terbuka dalam bahasa Porsche. Kira macam interpretasi baharu lampu pop up la ni kan?
Model konsep ini diberi lapisan cat Rocket Metallic khusus untuk model ini. Kemasan serat karbon berwarna satin menjelaskan betapa ringan binaan kereta ini. Porsche mendakwa elemen aero kereta ini menghasilkan downforce yang lebih baik berbanding 911 GT3 RS. Pergh. Penampilan diperkukuhkan lagi dengan rim bersain 20 inci hadapan dan 21 inci belakang siap dengan logo baharu Porsche di tengah-tengah. Ada beza dengan logo perisai lama Porsche okey.
Bahagian belakang menggunakan rekaan lampu konsep baharu siap dengan ejaan PORSCHE yang bersepadu dengan lampu. Semasa bateri sedang dicas, nyalaan lampu akan berdenyut secara perlahan sebagai petunjuk. Cool gi la weh.

Kuasa keseluruhan dan spesifikasi belum dijelaskan kerana ini ialah sebuah model konsep. Tapi sebagai sebuah kereta hypercar elektrik, baterinya diletakkan dibahagian belakang tempat duduk untuk menyelaraskan titik gravity selain mengekalkan dinamik susunan mid-engine.
Dikatakan lagi Mission X bakal mempunyai nisbah kuasa sekitar 1 hp untuk setiap satu kilogram berat. Sistem 900 volt pula akan membolehkan ia dicas dua kali ganda kelajuan cas Taycan Turbo S (5-80 peratus dalam masa 20 minit).
Menjengah ke bahagian dalam pula tempat duduk pemandu mempunyai warna yang berbeza berbanding penumpang. Macam nak bagitahu yang pemandu adalah sebagian daripada kereta manakala penumpang ialah sekadar penumpang. Beli kereta sports mana boleh bagi orang lain pandu kan?

Sudah tentu matlamat Mission X buat masa sekarang ialah untuk memecahkan rekod kelajuan Nurburgring yang kini dipegang oleh Mercedes dengan AMG One mereka. Itu pun dibuat pada tahun lepas.
Buat masa sekarang Porsche menyatakan Mission X ini adalah model pembelajaran rekaan tapi jangan terkejut kalau ia menjadi kenyataan dalam sedikit masa lagi. Kena ingat ini Porsche tahu, pembuatan kereta sport ni memang kepakaran mereka.









