
VW PERNAH HASILKAN MODEL KONSEP YANG MAMPU CECAH 11,000RPM – NAK SAMA DENGAN KERETA F1 NI
10 tahun dulu VW pernah dedahkan model sport konsep yang tak pernah dilihat atau ditemui sebelum ini. Ia dinamakan XL Sport dan ia kelihatan seperti kenderaan dari masa depan. Ia menunjukkan kemampuan para jurutera VW dalam menghasilkan model terhebat dengan inspirasi dari dunia perlumbaan.

Enjin XL Sport ni memag istimewa sebab ia cuma mempunyai dua selinder dan bukannya datang dari mana-mana kereta keluaran VW. Sebaliknya ia berstatus eksotik dalam dunia motosikal. Lebih tepat lagi ia menggunakan enjin Ducati 1199 Superleggera.
Enjin ini dipilih kerana ia merupakan enjin 1.2 liter V-twin paling berkuasa pada masa itu dan ia cukup ringan. Dengan kuasa maksima 197 hp ia berkemampuan membawa XL Sports dari 0-100kmj dalam masa 5.7 saat. Berat keseluruhan kereta ini hanya mencecah 900kg!

Kenapa ringan sangat? Tentulah kerana penggunaan material serat karbon dalam pembuatannya. Material yang berasal dari dunia perlumbaan menjadi pilihan kerana ia cukup teguh dan pada masa yang sama sangat ringan.
Enjin motosikal memang mampu diperah sehingga ke garisan merah yang lebih tinggi dari kereta. Sudah tentu XL Sport turut memiliki kelebihan tersebut kerana ia menggunakan enjin Ducati. 11,000 rpm senang-senang je dapat. Buat masa sekarang kereta produksi yang mampu mengatasi bacaan rpm maksima XL Sports hanyalah Aston Martin Valkyrie dan Gordon Murray Automotive T.33. Keduanya mampu mencatat 11,100 rpm. Lebih sikit je pun.
Lebih istimewa bila kebanyakan komponen kereta ini direka khas untuknya. Ada yang dipinjam dari XL1 tapi kebanyakan yang lain memang baharu contohnya rim magnesium 18 inci, brek, sistem penyejuk dan pintu bukaan ala rama-rama.

Walaupun sudah berusia 10 tahun, model konsep ini masih kekal malar hijau dan masih sesuai jika diproduksikan untuk masa kini. Cantik, elegan, sporty dan yang penting cukai jalan murah.

Kredit carbuzz.com