Buletin

ZEEKR X WOLF EDITION, 001 TRAVEL EDITION UNTUK BELANDA, RM212K, RM285K

Dua model elektrik (EV) Zeekr sudah ditayangkan di dalam negara iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak Zeekr X dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Zeekr 009.

Masing-masing dijangka ditawarkan pada harga di bawah RM180,000 dan RM350,000. Zeekr bukan jenama biasa tetapi diletakkan di dalam segmen mewah.

Reka bentuk kedua-duanya tampil tersendiri dengan X berbeza daripada SUV kompak lain di atas jalan raya.

Apa yang menarik ialah penawaran itu mewakili dua kelompok berbeza iaitu mereka yang memiliki keluarga kecil dan besar. Mungkin juga, pembeli 001 boleh mendapatkan X untuk kegunaan harian.

Terbaru Zeekr menawarkan dua edisi istimewa khusus untuk Belanda iaitu 001 Travel Edition dan X Wolf Edition.

Kedua-dunya menggabungkan teknologi canggih, jarak pemanduan jauh, pengecasan pantas dan spesifikasi lebih tinggi dan hanya ditawarkan dalam masa terhad.

Zeekr X Wolf Edition

X Wolf Edition dibuat istimewa dalam warna kelabu metalik dan diasaskan dari varian Privilege.

Dua buah motor menjadikannya sebagai kenderaan pacuan semua roda (AWD) dan memiliki kuasa 315 kW (428 hp). Pecutan 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 3.8 saat dan setara kereta super.

Menggunakan varian Privilege bermakna X Wolf Edition mempunyai beberapa ciri-ciri tambahan seperti pengecaman muka, kerusi depan dengan fungsi urutan dan rim 20 inci.

Kedua-dua X Privilege dan X Long Range AWD dibekalkan bateri 69 kilowatt-jam (kWj). Jarak pemanduan sehingga 425 kilometer (km) untuk Privilege dan 446 km bagi LR AWD.

Harga yang ditawarkan daripada 44,990 euro (RM211,660) dan layak untuk menerima subsidi Skim Kenderaan Elektrik Peribadi (SEPP) bernilai 2,950 euro (RM13,876).

Zeekr 001 Travel Edition

001 merupakan sebuah shooting brake dan EV pertama dari Zeekr dan tidak tersenarai sebagai model pengenalan di pasaran tempatan.

001 Travel Edition diasaskan dari varian motor tunggal Long Range dan sesuai dengan nama ‘Edisi Kembara’.

Edisi ini dilengkapi bar tunda sebagai ciri asas dengan keupayaan sehingga 1,500 kilogram (kg).

Rel bumbung untuk membawa barangan tambahan sekiranya ruang bagasi 539 liter tidak cukup.

Alas getah semestinya sangat bermanfaat selepas pemilik melakukan aktiviti luar seperti mendaki, merentasi laluan berselut atau berjalan di pantai.

Dari segi jarak, 001 Travel Edition boleh dipandu sehingga 620 km (WLTP) dan seperti yang dicontohkan oleh Zeekr dari Amsterdam sehingga Paris berbekalkan cas penuh.

Jika tidak mencukupi, pengecasan pantas dari 10 sehingga 80 peratus hanya mengambil masa 30 minit.

001 Edition dibekalkan motor elektrik 200 kW dan pecutan dari 0 sehingga 100 km/j memerlukan 7.2 saat.

Harganya pula daripada 60,490 euro (RM284,591) atau tambahan 1,000 euro (RM4,704) berbanding varian asas LR RWD.

Harga untuk kedua-dua edisi di Belanda kekal sehingga hujung tahun ini termasuk penghantaran dan berkemungkinan berbeza pada tahun depan.

Google ads
Back to top button