
AEHRA SEDAN – EV MEWAH REKAAN ALA SUPERCAR
Siapa kata EV perlu kelihatan membosankan? Sebenarnya rekaan EV sekarang sudah jauh lebih bergaya berbanding ketika ia mula-mula diperkenalkan. Syarikat Aehra dari Milan kini mengorak setapak lagi ke hadapan dengan model kedua mereka selepas Aehra SUV. Kini mereka menayangkan pula sebuah model sedan dengan rekaan bentuk wedge ala supercar.

Dihasilkan menggunakan platform sama dengan SUV mereka, ia turut berkongsi ciri grafik yang sama tetapi lebih ringkas dan kelihatan agak eksotik.
Berdasarkan rupa paras dan rekaan cermin sisi, kami rasa ia masih dalam peringkat konsep tapi menurut CEO Aehra, Hazim Nada, rekaan peringkat akhir sebelum memasuki produksi akan kelihatan hampir sama. Biasa la tu, mana boleh konsep sama 100 peratus dengan versi produksi.

Dilihat dari depan dari sudut tertentu ia kelihatan seperti sebuah Lamborghini versi kecil. Ingat tak Lamborghini Cala konsep satu ketika dulu? Tokey kosmetik timbang kilo dijamin tak pernah dengar Lambo Cala ni.
Tak banyak didedahkan tentang trenkuasa sedan EV ini kecuali kami tahu yang ia menggunakan bateri 120 kilowatt yang sama seperti model SUV dengan jarak operasi 800 kilometer. Mungkin dalam versi sedan ia dapat pergi lebih jauh. Kuasa ialah sekitar 800 hp dan ianya sudah lebih dari mencukupi untuk sedan ringan seperti ini. Ringan ke? Berat bateri pun dah berapa ni?
Mungkin mereka menyasarkan untuk bersaing dengan Lucid Air ataupun Porsche Taycan dan kalau itu tujuannya, mereka kena berusaha untuk menambah lagi kuasa.

Tapi Aehra mempunyai kekuatan tersendiri. Satu, ia keluaran Itali yang terkenal dengan kereta-kereta eksotik. Dua, ia memang kelihatan seperti kebanyakan supercar eksotik yang menjadi dambaan ramai peminat kereta.
Kalau tengok pada bukaan pintu ia lebih hebat dari Lambo kerana mempunyai empat pintu bukaan ke atas. Dua ke depan dua ke belakang. Mamma mia! Parmesa cheese sungguh.


