Buletin

MITSUBISHI MIRAGE KERETA PALING JIMAT DI AMERIKA SYARIKAT (DIJUAL SAMPAI SEKARANG)

Pasaran kenderaan automotif di Amerika Syarikat adalah penanda aras dari segi teknologi dan keselamatan di dunia. Di sana bukan sahaja pembeli boleh memiliki kereta canggihseperti fuel-cell tetapi juga badan konsumer yang sedia melindungi pengguna.

Walaupun canggih dan maju, di Amerika Syarikat juga terdapat model-model ekonomikal yang turut dipasarkan di negara membangun. Contohnya Nissan Almera (Versa) dan Mitsubishi Mirage (hatchback) dan Attrage (G4/Mirage sedan) yang juga boleh dimiliki di negara kita.

Nissan Versa sudah digantikan dengan model serba baharu manakala Mirage dan Mirage G4 masih dijual di AS. Di negara kita, Almera masih dijual manakala Mirage dan Attrage sudah dihentikan jualan.

Penawaran kedua-dua model tersebut menunjukkan dinamika pasaran automotif yang tersendiri di AS. Anda boleh beli kereta paling canggih di dunia dan kereta paling ekonomikal.

Mitsubishi Motors North America (MMNA) pada 27 Mei 2019 mengumumkan Mitsubishi Mirage adalah model paling cekap minyak dalam kategori petrol di Amerika. 

Model itu hanya menggunakan 36/43 batu per gelen atau 15.3/18.28 km/l untuk di bandar/lebuh raya seperti yang diiktiraf Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS (EPA).

Mirage bukan sahaja menjimatkan tetapi harganya juga mampu milik iaitu dari USD$13,795 (RM57,601). 

Mengikut EPA, Mirage yang menggunakan enjin tiga silinder tersebut hanya memerlukan perbelanjaan sebanyak USD$900 (RM3,757) setahun bagi pemanduan 45 peratus lebuh raya dan 55 peratus di bandar dengan jarak 15,000 batu (24,140 km).

Perbelanjaan tersebut bersamaan USD$75 sahaja sebulan. Sudahlah harga kereta murah, penggunaan minyak juga menjimatkan.

Sebuah lagi model yang menjimatkan ialah Mirage G4 yang merupakan versi sedan. Model ini menggunakan 41 mpg (5.73 L/100 km) untuk pemanduan lebuh raya dan boleh dimiliki pada harga USD$14,395 (RM60,106).

Mirage G4 menggunakan enjn sama seperti versi hatchback iaitu 1.2 liter tiga silinder. 

MMNA turut menawarkan pembelian Mirage dan Mirage G4 dengan pakej perlindungan menarik dan komprehensif.

Waranti kenderaan adalah selama lima tahun atau 60,000 batu (96,560 km), sepuluh tahun atau 100,000 batu (160,934 km) untuk nadi kuasa, tujuh tahun/100,000 batu untuk anti karat dan lima tahun dengan tanpa had perjalanan untuk bantuan tepi jalan. 

Meriah sungguh, ini tidak menghairankan kerana pasaran automotif di AS begitu kompetitif dan juga besar, jualan pada tahun 2018 ialah sebanyak 17.32 juta unit!

BACA: SPESIS LUAR BIASA. MITSUBISHI LANCER FIORE HATCHBACK

BACA: MITSUBISHI FIORE C12 WAGON – PAYAH BETUL DAH NAK JUMPA

BACA: MITSUBISHI LANCER LIMITED EDITION, TAHUN 2017 DAN TERAKHIR DI AS

Kredit foto: Mitsubishi 

Google ads
Back to top button