Buletin

MITSUBISHI LANCER LIMITED EDITION, TAHUN 2017 DAN TERAKHIR DI AS

Apabila melihat satu persatu sedan segmen C seperti Civic dan model baharu Sylphy, Corolla dan Mazda3 terlintas pula apa nasib Mitsubishi Lancer? Atau Subaru Impreza?

Subaru berjaya menemui niche baharu melalui crossover XV, Mitsubishi pula terus beralih arah sebagai jenama SUV sekarang ini.

Kali terakhir Mitsubishi mengeluarkan sedan segmen C Lancer ialah pada tahun 2007 dan terus dijual sehingga tahun 2017.

Agak lama untuk sebuah model global dan walaupun Lancer sudah ditamatkan pada 2017, Lancer telah diperbaharui luar dan dalam pada tahun yang sama untuk dijual di Taiwan dan China sehingga sekarang .

Jika ada yang kagum dengan famili Honda Civic yang mempunyai gaya badan sedan, hatchback, coupe dan Type R, Lancer dahulu juga serupa. Ada Lancer sedan, sportsback dan Evolution. 

Di antara negara yang mempunyai siri lengkap Lancer seperti sedan, sportback, edisi Ralliart dan Evolution ialah Amerika Syarikat.

Satu lagi siri ialah Lancer Limited Edition, diperkenalkan di Amerika Syarikat pada 2017 yang juga tahun akhir sedan itu di pasaran. 

Perbezaan utama Lancer Limited Edition dengan varian biasa ialah warna hitam pada roda aloi 16 inci, bumbung, gril, fender garnish, cermin sisi dan logo khas. Juga standard ialah bumbung suria.

Bahagian dalam pula berbeza dengan sulaman merah pada stereng, tombol gear, tuil brek tangan, perehat lengan dan pelapik pintu.

Turut istimewa ialah pedal aluminium, pelapik siling dan tiang warna hitam dan skrin multimedia 6.5 inci dengan fungsi Smartphone Link Apple CarPlay™ dan Android Auto™

Menggerakkan Lancer ini ialah enjin 2.0L MIVEC DOHC berkuasa 148 hp pada 6,000 rpm dan daya kilas 196 Nm pada 4,200 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi CVT.

Dari segi aspek keselamatan, Lancer ini lengkap dengan pelbagai teknologi seperti tujuh beg udara, kamera undur, ABS dengan EBD dan BA, Active Stability Control (ASC)Traction Control Logic (TCL) dan Tire Pressure Monitoring System (TPMS).

Pada 2017, Mitsubishi Lancer Limited Edition dijual pada harga yang berpatutan iaitu USD$19,795 atau RM82,960 mengikut nilai hari ini.

Kini pada tahun 2019 adakah Mitsubishi mempunyai perancangan untuk Lancer generasi baharu atau Evolution?

Sekadar untuk berkongsi platform dengan rakan sekutu di dalam Pakatan Renault, Nissan, Mitsubishi rasanya tiada masalah. Renault dan Nissan masing-masing mempunyai Megane dan Sylphy.

Pasti menarik apabila bayangkan Lancer dengan identiti Dynamic Shield seperti model-model baharu Mitsubishi sekarang. Tapi bila?

BACA: KERETA-KERETA TERHEBAT YANG PERNAH DIHASILKAN OLEH MITSUBISHI – MASA LALU YANG INDAH

BACA: SELAMAT TINGGAL MITSUBISHI PAJERO, INI UNIT TERAKHIR DI UK

BACA: MITSUBISHI TRITON TAMPIL DENGAN VERSI LUMBA!

Google ads
Back to top button