Artikel Pilihan

10 KENDERAAN MENARIK DALAM THE AVENGERS: ENDGAME

Filem filem terbitan Hollywood sudah lama menjadi medium kepada pemain industri automotif untuk memasarkan jenama kenderaan mereka melalui tayangan filem.

Jika filem tersebut ramai peminat dan memang dinantikan oleh penonton, maka ia satu peluang yang baik kepada pembuat kereta membuat promosi atau “product placing” sewaktu tontonan.

Filem James Bond misalnya menggunakan BMW dan juga Aston Martin sebagai kereta rasmi, dan Filem Mission Impossible juga menggunakan BMW untuk acara kejar mengejar termasuklah motosikal.

Memandangkan sekarang tengah hangat pasal Avengers, kami senaraikan di sini beberapa kereta dan motosikal yang digunakan dalam filem Avengers: Endgame dan juga siri Avengers yang lain.

Rasanya Proton Tiara Abam Japar, boleh berlakon dalam filem mana?

Toyota Avanza – MREC – Desktop

1.  Audi e Trone Quattro 2019 merupakan sebuah kenderaan utiliti sport yang menggunakan elektrik sepenuhnya. Ia menggunakan bateri berkuasa 95kw/h dengan jarak perjalanan sekitar 328km untuk setiap kali pengecasan.

Mengikut kajian Audi pengguna hanya memandu sekitar 48.9km sehari sahaja jadi jarak 328km adalah memadai. Untuk pasaran di Amerika, pengecasan selama 30 minit memberikan jarak kepada Audi e Trone sehingga 262km.

Dalam filem Endgames, kereta ini digunakan oleh Kapten Amerika, Natasha dan AntMan ketika melawat Tony Stark. Sebagai unit AWD, ia akan mendapat 2 motor iaitu 1 pada gandar depan (188 kuasa kuda) dan satu motor pada gandar belakang (180 kuasa kuda). Pecutan 0-100km/h dilakukan dalam masa 6.4 saat.

2. Audi GT e Tron merupakan kereta yang sinonim dengan ikon hero IronMan ataupun Tony Stark semenjak dari tahun 2008.

Aksi kereta ini boleh dilihat apabila Tony pulang ke HQ Avengers dengan menggunakan GT e Tron.

Audi merancang untuk menghasilkan kereta ini dengan 590 kuasa kuda, pecutan 0-100km/h dalam masa 3.5 saat dan jarak sehingga 399km bagi setiap kali pengecasan.

Bateri lithium ion dengan kapasiti 90kW dipasang pada lantai cesi memberikan titik pusat graviti yang menyamai Audi R8. Unit pengecas datang dengan spesifikasi 800v membolehkan ia dicas pada 80% dalam masa 20min dan jarak perjalanan sekitar 321km.

3. Ford Econoline 1972 digunakan oleh AntMan untuk mengangkut makmal rahsia yang digunakan oleh AntMan dan juga Hope.

Model ini merupakan van komersial keluaran Ford generasi kedua dengan menggunakan enjin 3900cc ataupun 4900cc dengan 6 silinder sebaris.

Ia dipadankan dengan kotak gear 3 kelajuan manual ataupun 3 kelajuan automatik. Van ini dimusnahkan oleh Thanos semasa babak akhir pertarungan filem Endgame. Dalam filem terbaru AntMan peranan van ini diambil alih oleh Mercedez Benz Sprinter.

4. Chevrolet Tahoe (GMT 921) merupakan kenderaan rasmi Kolonel Nick Fury yang bermata satu akibat dicakar oleh kucing.

SUV ini merupakan keluaran tahun 2014 digunakan dalam filem Kapten Amerika Winter Soldier semasa Nick Fury diserang oleh kumpulan Hydra.

Namun ia bukan sebarangan SUV kerana ia lengkap dengan perisai kalis peluru, perisian pemanduan automatik khas untuk melarikan diri dari kepungan musuh dan mesingan yang digabungkan dengan pelancar roket yang akan keluar dari panel instrumen.

Tapi untuk versi standard, ia dikuasakan dengan enjin 4800cc atau 5300cc atau 6000cc atau 6200cc. Semua enjin di atas merupakan enjin dalam konfigurasi V8.

5. Lexus juga tidak ketinggalan untuk menumpang populariti filem Avengers apabila ia turut menyediakan kereta termahal mereka untuk kucing hitam – Black Phanter.

LC 500 yang membuat debut dalam filem Black Phanter pada tahun 2018 digunakan oleh T’Challa merupakan sebuah kereta 2 pintu Grand Tourer iaitu sebuah kereta mewah yang selesa untuk dipandu pada jarak jauh.

LC 500 dikuasakan dengan pilihan enjin 5000cc V8 atau 3500cc V6 yang digandingkan dengan sistem hibrid. Kedua dua enjin dipadankan dengan kotak gear 10 kelajuan.

Namun kami menyarankan anda agar tidak memanjat bumbung kereta seperti Black Phanter melainkan anda sedang membuat iklan bisnes MLM dan menjerit “luar biasa baik!!!”.

6. Lamborghini Huracan merupakan kereta yang sesuai untuk watak Doctor Strange yang membuat debut pada tahun 2016.

Watak awal Doctor Strange yang sombong, mementingkan diri sendiri dan suka berlagak amat kena sekali dengan pilihan kereta ini.

Huracan dilancarkan pada tahun 2014 merupakan sebuah supercar eksotik dihasilkan dengan enjin 5200cc dengan konfigurasi V10. Ia dipadankan dengan kotak gear klac berkembar 7 kelajuan mampu melakukan pecutan 0-100km/h dalam masa 2.5 saat dan kelajuan maksima ialah 341km/h.

Di dalam filem ini, kecuaian Doctor Strange ketika memandu mengakibatkan kemalangan sehingga ia mencacatkan tangan beliau. Jadi, tumpukan perhatian semasa memandu jika anda tidak mahu tangan anda mengalami kecacatan seperti Doctor Strange.

7. Chevrolet Corvette Stingray C7 adalah kereta sport buatan Amerika muncul di dalam filem sekuel Kapten Amerika (Askar Musim Sejuk).

Sudah menjadi tradisi untuk rakyat Amerika menggunakan enjin yang akan membuatkan ais kutub mencair, Stingray dikuasakan oleh enjin 6200cc dengan susunan V8 dan dilengkapkan dengan supercaj.

Ia dipadankan dengan kotak gear 7 kelajuan manual, 6 kelajuan automatik atau 8 kelajuan automatik. 

Namun model ini hanya muncul seketika sahaja pada permulaan filem. Mungkin kos yang tinggi menyebabkan ia tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti stunt oleh krew pengembaraan.

8. Chevrolet Impala SS sekali lagi muncul dalam filem Kapten Marvel dan sudah tentu ia tidak dipandu oleh watak Kapten Marvel kerana kemampuan beliau untuk terbang. Ajen Nick Fury menggunakan Chevrolet Impala SS 1996 sedan 4 pintu sebagai kenderaan rasmi SHIELD.

Ia dikuasakan dengan enjin 5700cc susunan V8 dan digandingkan dengan kotak gear 4 kelajuan automatik. Enjin ini mampu menghasilkan 404 kuasa kuda bagi versi SS mampu memecut dari 0-100km/h dalam masa 7 saat.

9. Harley Davidson Street 750 merupakan motosikal yang sinonim dengan watak Kapten Amerika bermula dengan model Liberator 1942.

Motosikal Harley Street 750 ini dikuasakan dengan enjin 750cc dengan susunan V berkembar dan menjana kuasa 68 kuasa kuda. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear 6 kelajuan.

Model ini dipasang di Amerika Syarikat dan juga India. Kelebihan motor ini ialah bunyi yang dihasilkan adalah bunyi signatur asal enjin berkembar V Harley dan didendangkan dengan bunyi ekzos yang merdu. Bunyi ini telah dikaji dan disempurnakan di fasiliti ujian bunyi di Wisconsin.

10. Harley Davidson LiveWire.Sama seperti trend automotif, Harley Davidson merancang untuk memperkenalkan motosikal yang menggunakan tenaga elektrik sekitar tahun 2020.

Walau bagaimanapun model yang menggunakan petrol akan tetap dijual. Versi LiveWire ini mampu memecut dari keadaan statik ke 100km/h dalam masa 4 saat. Ia akan dilengkapkan dengan motor elektrik 3 fasa, dengan sejukan minyak pelincir dan mampu menghasilkan tenaga 73 kuasa kuda.

Sekiranya anda ingin mencipta kelainan dari rakan sebaya yang menggunaka Y-suku, Harley sudahpun membuka tempahan awal untuk motor ini.

Google ads
Back to top button