Motosikal

PELAGAK NGERI WANITA MAUT, SYARIKAT PRODUKSI FILEM DEADPOOL 2 DIDENDA RM1.3 JUTA

Sebuah syarikat produksi Kanada, Vancouver TCF Productions didenda hampir AS$300,000 (RM1.3 juta) atas kecuaian yang menyebabkan kematian seorang pelagak ngeri wanita, Joi Harris di set penggambaran filem Deadpool 2. 

Harris yang berlakon sebagai pelagak ngeri untuk watak Domino dikatakan hilang kawalan ketika menunggang sebuah Ducati Hypermotard di Jack Poole Plaza, Vancouver.

Dia dilihat terbabas dan melanggar tingkap di Menara Shaw. Pada ketika itu, dia tidak memakai topi keledar kerana watak tersebut tidak memerlukannya berbuat demikian.

Insiden itu kemudian disiasat oleh pihak WorkSafeBC pada Oktober 2019. Ia mendapati terdapat lima faktor yang menyumbang kepada kematian Harris. Antaranya ketiadaan topi keledar, pihak produksi gagal membuat penilaian risiko dan melakukan orientasi kepada pekerja baharu. 

Denda tersebut dibuat selepas mengambil kira saiz syarikat produksi berkenaan, sejarah pelanggaran peraturan dan bentuk kesalahan. 

Harris merupakan seorang penunggang motosikal berpengalaman. Dia menjadi wanita Afrika-Amerika pertama yang mendapat lesen pelumba motosikal profesional. Harris juga bersaing dalam siri AMA/MotoAmerica dan mengasaskan pasukan lumbanya sendiri, Threader Racing.

Deadpool 2 menjadi filem francais kedua yang mendapat perhatian ramai melibatkan pelagak ngeri wanita selepas Olivia Jackson menang kes saman ke atas penerbit filem Resident Evil: The Final Chapter.

Jackson mengalami kecederaan teruk sehingga tangannya terpaksa dipotong selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan kren membawa kamera. 

Google ads
Back to top button