Buletin

TRAGEDI LORI TANGKI PETROL MELETUP.11 TERBUNUH DAN 50 CEDERA

Kalau bukan hak kita, jangan ambil. Buruk padahnya. Ini berlaku di lebuh raya Colombia apabila 11 orang terbunuh manakala lebih 50 orang cedera ketika cuba menyedut muatan petrol dari lori tangki yang kemalangan.

Dalam kejadian pagi Isnin lalu di Magdalena, Colombia, pemandu lori tangki, Manuel Catano hilang kawalan kenderaan yang membawa muatan 18927.06 liter petrol sebelum terbalik di bahu jalan.

Catano memberitahu  media tempatan, Noticias RCN,  dia berjaya keluar dari kabin lori tanpa bantuan orang ramai sebelum seorang lelaki menaiki motosikal datang membantu.

Begitupun, ketika Catano sedang menunggu pihak polis, penduduk pekan Tasajera mula mengerumuni lori dengan membawa bekas besar untuk menyedut muatan minyak.

“Saya memberitahu mereka, ia premium, petrol premium, dan mudah terbakar,” kata Catano yang menyangka orang ramai akan membantunya.

Dia dimarahi malah disuruh jangan masuk campur semasa mereka memukul injap paip untuk menyedut petrol di lori itu.

Pihak polis berkata terdapat kira-kira 120 orang yang berada di lokasi kejadian.

Catano berkata dia menyedari berlaku letupan kuat apabila berpaling dari lori tangki itu selepas berjumpa dengan pihak polis.

Dalam video, menunjukkan beberapa orang sedang lari menyelamatkan diri dalam keadaan badan terbakar.

Sebanyak 19 mangsa yang terbakar teruk dipindahkan ke hospital Bogota untuk menerima rawatan. Sebahagian besar mangsa lain pula dimasukkan ke hospital Cienaga, Santa Marta, Barranquilla dan Valledupar. – dailymail

Google ads
Back to top button