
MUSTANG MACH-E GT, SUV 0-100 KM/J = 3.7 SAAT!
Menarik juga apabila Ford menggunakan nama Mustang Mach-E untuk SUV elektrik mereka. Mustang adalah nama ikonik dan pasti Ford mempunyai alasan kuat untuk menggunakannya.
Lebih menarik apabila Ford memperkenalkan Mustang Mach-E GT buat kali pertama di Eropah. Ini adalah varian berprestasi tinggi dengan angka bawah empat saat (sub 4 seconds) atau lebih tepat hanya memerlukan 3.7 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j.
Menurut Ford, tiada model di dalam kelasnya yang dapat memecut lebih pantas daripada Mustang Mach-E GT. SUV ini mempunyai kuasa 465 PS, pacuan semua roda (AWD) dengan nadi kuasa elektrik bateri.
Satu perkara penting apabila memiliki sebuah kenderaan elektrik (EV) ialah kemudahan pengecasan. Untuk itu Ford memberikan keistimewaan khas kepada pelanggan yang membuat tempahan pada tahun 2020.
Pelanggan akan menerima lima tahun akses percuma FordPass Charging Network yang kini mempunyai lebih 155,000 stesen pengecasan di serata Eropah.
Pemilik Mach E juga diberi akses percuma kepada rangkaian pengecasan pantas IONITY dengan lebih 270 stesen pengecasan dan sasaran untuk meningkat kepada 400 stesen menjelang hujung tahun 2020.
Dari segi prestasi, Mustang Mach-GT dikuasakan dua motor elektrik dengan tork sehingga 830 Nm dan pacuan bebas pada roda depan dan belakang. Kelajuan maksimum dihadkan kepada 200 km/j.
Di antara ciri khas ialah suspensi suai (adaptive) MagneRide, roda aloi 20 inci, angkup brek merah dan warna unik seperti Grabber Blue dan Cyber Orange.
Bahagian dalam dilengkapi paparan sentuh 15.5 inci definisi tinggi (HD) yang menyokong komunikasi SYNC baharu dan sistem hiburan yang boleh mempelajari tabiat pemandu bagi membuat cadangan bernas.
Turut dilengkapi kerusi Ford Performance dan stereng unik dengan kemasan suede.
Mustang Mach-E GT mempunyai kapasiti bateri 88 kWh dan boleh dipandu mengikut sasaran WLTP sehingga 499 kilometer dengan sokongan Intelligent Range yang boleh membuat anggaran lebih tepat jarak pemanduan berdasarkan tabiat pemanduan lepas, ramalan cuaca dan data sumber khalayak (crowdsourced) dari Mustang Mach-E lain.
Dengan Mustang Mach-E tiada perdebatan sama ada enjin 2.3 liter empat silinder turbo atau 5.0 liter V8. Ianya satu yang langsung berbeza dengan gaya badan SUV dan nadi elektrik.
Ford mempunyai kepercayaan tinggi terhadap masa depan kenderaan sebegini. Menjelang hujung tahun 2021, Ford bakal memperkenalkan 17 model elektrifikasi baharu di benua Eropah.
BACA: MUSTANG MACH-E 1400, LUAR BIASA DENGAN 7 MOTOR ELEKTRIK!
BACA: FORD MUSTANG MACH 1 KEMBALI, ENJIN 5.0L V8 BERKUASA 480HP!
BACA: RISAU RIM DICURI? FORD BUAT NAT DARI SUARA PEMILIK!