
HYUNDAI i30 N 2021, 2.0L TURBO 250 PS 353 NM!
Hyundai sekarang ligat bersaing di dalam perlumbaan profail tinggi melalui Kejohanan Rali Dunia (WRC) atau pun Perlumbaan Kereta Penumpang (TCR).
Tidak hanya di dalam perlumbaan, Hyundai juga giat memasarkan model berprestasi N atau varian sporti N Line.
Model produksi pertama berprestasi tinggi keluaran Hyundai ialah i30N yang dilancarkan pada tahun 2017. Bagaimana dengan sambutan model itu?
Setakat ini lebih 25,000 unit i30 N telah terjual di Eropah. Angka tersebut menunjukkan sambutan baik memandangkan ia cubaan pertama Hyundai.
Terbaru Hyundai memperkenalkan i30 N yang dipertingkatkan dari bahagian dalam, luar dan rangkaian kuasa dan sama seperti model sebelum mempunyai dua gaya badan iaitu hatchback dan fastback.
Rekabentuk
Pada bahagian depan, identiti N boleh dilihat pada gril dengan saiz lebar. Gril dan corak berjaring (mesh) dan secara keseluruhan dioptimum bagi mendapatkan penyejukan enjin yang cekap.
Lagi perubahan ialah lampu depan LED dengan lampu nyalaan siang bentuk V.
Pada bahagian belakang, i30 N Fastback kekal sama manakala model hatchback menerima spoiler lebih besar yang disatu bersama lampu brek tiga segi.
Lampu belakang turut dikemaskan dengan signatur LED baharu dan dua ekzos besar pada bahagian diffuser menyerlahkan karakter prestasi i30 N.
Berkenaan warna, i30 N tidak terhad kepada Performance Blue dan pengguna ditawarkan banyak pilihan seperti Polar White, Engine Red, Sunset Red, Shadow Grey, Dark Knight dan Phantom Black.
Dalaman
Bahagian dalam didatangkan dengan warna hitam dan balutan fabrik atau suede tiruan dan kerusi kulit. Lagi ciri menarik ialah sulaman Performance Blue dan tali pinggang keledar dengan riasan warna biru tersebut.
Buat kali pertama, pembeli i30 N ditawarkan pilihan kerusi N Light jenis monoform yang 2.2 kg lebih ringan daripada kerusi standard.
Kerusi itu dibalut dengan kulit premium dan Alcantara, sulaman Performance Blue dan logo N.
Selain itu, pembeli diberi pilihan stereng dan kerusi depan dengan fungsi pemanas.
Kluster meter mempunyai maklumat seperti zon aktif merah yang berubah mengikut suhu enjin dan indikator pemasaan yang menunjukkan kepada pemandu masa terbaik bagi menukar gear.
Rangkaian kuasa
i30 N digerakkan enjin 2.0 liter turbo dengan dua pilihan transmisi iaitu enam kelajuan manual (6MT) atau yang terbaharu dan buat kali pertama, lapan kelajuan dua klac jenis basah dan dikenali sebagai N DCT.
Transmisi N DCT mempunyai fungsi seperti N Grin Shift, N Power Shift dan N Track Sense Shift.
i30 N versi standard dengan 6MT mempunyai kuasa 250 PS dan tork maksimum 353 Nm.
Buat pelanggan yang mahu lebih kuasa, Hyundai menawarkan versi Performance Package dengan output 280 PS atau pertambahan 5 PS berbanding i30 N asal. Prestasi tork pula melonjak 39 Nm kepada 392 Nm.
Julat tork maksimum i30 N ialah diantara 1,950 rpm dan 4,600 rpm dengan kuasa maksimum pada 5,200 rpm.
Pakej ini boleh dipadan bersama transmisi 6MT atau N DCT.
Kedua-dua varian memiliki kelajuan maksimum 250 km/j dan pecutan 0 hingga 100 km/j memerlukan 5.9 saat (Performance Package) atau 0.2 saat lebih baik dari model terdahulu.
Sama seperti versi terdahulu i30 N 2021 dilengkapi Pemadanan Rev, Kawalan Permulaan, Bar Ketegaran Belakang dan banyak lagi.
Pemanduan dan Pengendalian
Sama seperti model terdahulu, i30 N 2021 dilengkapi Suspensi Kawalan Elektronik. Sistem suspensi dan stereng ditala semula untuk prestasi pemanduan dan pengendalian lebih baik.
Pelanggan yang memilih Performance Package dilebihkan dengan teknologi N Corner Carving Differential atau LSD kawalan elektronik (Electronically Controlled Limited Slip Differential / eLSD) dan saiz cakera brek besar, dari 345mm kepada 360mm.
i30 N standard dilengkapi roda aloi 18 inci dan pembeli Performance Package dipasangkan roda aloi forged 19 inci. Roda itu istimewa dengan penjimatan berat sebanyak 14.4 kg berbanding roda 19 inci aloi jenis tuang (cast).
Jenis tayar Performance Package juga berbeza iaitu Pirelli P-Zero yang dibangunkan khusus untuk i30 N. Model standard menggunakan tayar Michelin Pilot Super Sport.
Bagi membantu mengawasi dan memperbaiki kemahiran pemandu di litar, i30 N dilengkapi Sistem Data Prestasi Pemanduan yang boleh menyimpan dan memaparkan data seperti kuasa (PS), tork, boost turbo, pemasa litar dan pecutan.
Teknologi keselamatan
Walaupun sebuah model berprestasi, i30 N canggih dengan teknologi Hyundai SmartSense berikut:
- Forward Collision-Avoidance Assist with vehicle and now also with pedestrian detection (FCA-P)
- Lane Following Assist (LFA)
- Blind-Spot Collision Warning (BCW) (hatchback sahaja)
- Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA-R) (only DCT, hatchback sahaja)
- Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Warning (RCCW) (hatchback sahaja)
- Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA) (DCT, hatchback sahaja)
Hyundai i30 N dijadual untuk memasuki pasaran Eropah pada awal tahun 2021.
Harga belum didedahkan dan sebagai rujukan i30 N pasaran tempatan dijual pada RM298,888.
BACA: HYUNDAI SONATA N LINE 2021, BERGAYA KAN?