Buletin

MUSTANG MACH-E 1400, LUAR BIASA DENGAN 7 MOTOR ELEKTRIK!

Keputusan Ford untuk menggunakan nama Mustang pada kereta elektrik adalah sesuatu yang berani. Mustang adalah nama ikonik dan legenda digunakan pada model segmen yang boleh dikatakan masih dalam peringkat penerimaan di kalangan pengguna.

Bagaimanapun, ini sesuatu yang berbeza. Ford Mustang Mach-E 1400, model elektrik berkuasa tinggi yang menonjolkan prestasi tanpa perlu menggunakan setitik bahan bakar.

Apa yang luar biasa pada model ini? Ada tujuh motor elektrik dengan keupayaan daya mendap (downforce) yang sedia untuk digunakan di litar, jaluran drag, laluan gymkhana atau mana-mana sahaja yang boleh mempertontonkan kuasa janaan elektrik.

Projek ini dibangunkan dengan kerjasama Ford Performance dan RTR yang memakan masa selama 10,000 jam.

RTR diasaskan oleh Vaughn Gittin Jr. yang juga pemandu dan personaliti sukan permotoran. 

Ford Mustang Mach-E 1400 dibina bagi merapatkan jurang di antara keupayaan sebuah kenderaan elektrik (EV) dan apa yang cenderung dipercayai oleh pelanggan.

Sasaran output kuasa untuk kereta prototaip ini ialah 1,400 hp.

Pasukan pereka Ford dan RTR menggunakan banyak peralatan yang sama digunakan Ford pada kereta lumba dan program pengeluarannya.

Satu ciri hebat pada Mustang Mach-E 1400 ialah tujuh motor atau tambahan lima daripada dua pada Mustang Mach-E GT. 

Tiga ditempatkan pada pembeza (differential) depan dan empat di belakang secara bertindih (pancake style) dengan aci pacu (driveshaft) tunggal menghubungkan kepada pembeza dan berfungsi untuk melaras kereta dalam pelbagai keadaan dari drift kepada perlumbaan litar.

Casis dan rangkaian kuasa (powertrain) pula dibuat bagi pasukan pembangunnya mengkaji pelbagai bentangan dan kesan kepada penggunaan tenaga dan prestasi termasuk pacuan roda belakang, semua roda dan roda depan.

Tetapan bagi drift dan pemanduan di litar mempunyai konfigurasi bahagian depan yang langsung berbeza seperti lengan kawalan (control arms) dan stereng bagi mendapatkan darjah putaran yang ekstrem.

Pembahagian kuasa boleh diagihkan secara sama rata di antara bahagian depan dan belakang atau mana-mana satu dengan penuh.

Prestasi daya mendap disasarkan lebih daripada 1,000 kg pada 257 km/j.

Bateri Mustang Mach-E 1400 mempunyai kuasa 56.8 kWh dan sistem bateri direka untuk disejukkan semasa pengecasan menggunakan di-electric coolant.

Mustang Mach-E 1400 menggunakan brek Brembo™ sama seperti kereta lumba Mustang GT4 dan sistem brek tangan hidraulik yang direka untuk drift yang menggabungkan kawalan rangkaian kuasa supaya dapat mematikan kuasa kepada roda belakang.

Mustang Mach-E 1400 dijadual untuk dibawa ke perlumbaan NASCAR dan turut berfungsi sebagai kenderaan ujian bagi bahan baharu. 

Bonet Mustang Mach-E 1400 diperbuat daripada gentian komposit organik dan alternatif ringan kepada gentian karbon yang digunakan pada bahagian lain kereta.

Memandangkan ini adalah projek kerjamasa dengan RTR apakah pendapat Vaughn Gittin Jr.?

Sesi pemanduan beliau telah berjaya mengubah langsung pandangan terhadap keupayaan kuasa dan daya kilas dengan pengalaman yang tidak pernah anda bayangkan kecuali mungkin seperti roller coaster magnetik!

Ford melabur lebih daripada USD11.5 bilion untuk EV di serata dunia dan model global pertama yang ditawarkan ialah Mustang Mach-E.

BACA: FORD SIERRA RS COSWORTH NAK DILEPASKAN, ANGGARAN RM209K – RM316K!

BACA: FORD MUSTANG MACH 1 KEMBALI, ENJIN 5.0L V8 BERKUASA 480HP!

BACA: FORD F-150 2021 – PIKAP LEGENDA SARAT TEKNOLOGI CANGGIH!

Tags
Google ads
Back to top button