
FORD MUSTANG MACH 1 KEMBALI, ENJIN 5.0L V8 BERKUASA 480HP!
Selepas 17 tahun tanpa model pengganti, Ford Mustang Mach 1 akhirnya kembali dengan membawa legasi model ikonik itu. Seperti model asal, Mach 1 dibangunkan bagi memenuhi ruang di antara Mustang GT dan Shelby® dengan perbezaan pada kuasa enjin V8, aerodinamik, suspensi dan bahagian dalaman.
Dengan penawaran ini, Ford Mustang Mach 1 merupakan siri Mustang 5.0 liter paling sesuai untuk digunakan di litar.
Keupayaan itu dicapai melalui penampilan baharu, penggunaan komponen prestasi dari model Mustang Shelby GT350 dan Shelby GT500 serta pilihan Handling Package untuk tahap pengendalian lebih tinggi.
Enjin 5.0 liter V8 Mach 1 telah ditala semula dan kini menghasilkan 480 hp pada 7,000 rpm dan tork 569 Nm pada 4,600 rpm.
Di antara komponen Shelby GT350 yang diguna pada enjin Mach 1 ialah pancarongga pengambilan (intake manifold), penyesuai turas minyak (oil filter adapter) dan penyejuk enjin yang meningkatkan keupayaan penyejukan minyak enjin sebanyak 50 peratus.
Enjin Mach 1 dipadan bersama transmisi gear enam kelajuan Tremec™ 3160 juga daripada Shelby GT350. Turut dilengkapi ialah sistem penyejuk minyak GT350, klac berkembar Mustang GT dan tukaran gear singkat (short-throw shifter).
Mach 1 juga didatangkan dengan pemadanan rev (rev-matching).
Selain transmisi manual, pembeli ditawarkan transmisi automatik sepuluh kelajuan SelectShift™ dengan penukar kilas (torque converter) yang telah dinaik taraf dan penuntukuran (calibration) khas bagi mengoptimumkan keupayaan tork, karakter penukaran gear dan prestasi keseluruhan.
Penyejuk udara ke minyak (air-to-oil) kedua meningkatkan kapasiti penyejukan sebanyak 75 peratus.
Dari segi penampilan dan aerodinamik, pasukan kejuruteraan dan reka bentuk bekerjasama bagi menghasilkan bahagian depan yang bukan sahaja menarik tetapi juga memenuhi keperluan enjin, transmisi dan sistem pembrekan.
Sekali pandang, gayaan bampar depan dengan bukaan dan liang menonjol sudah jelas menunjukkan peranannya.
Mach 1 memiliki daya mendap (down force) 22 peratus lebih tinggi berbanding Mustang GT dengan pakej Performance Pack Level 1 dan melonjak sekitar 150 peratus dengan Handling Package.
Bagi memperbaiki ketahanan di litar, Ford menambah dua penukar haba sisi (penukar haba sisi) yang masing-masing untuk menyejukkan minyak enjin dan minyak transmisi.
Lagi komponen diambil daripada Shelby GT500 ialah peresap (diffuser) bawah dan sistem penyejukan gandar belakang.
Untuk menambah baik pemanduan dan pengendalian, Mach 1 menggunakan set suspensi MagneRide terbaru, tentukuran EPAS (Electric Power Assisted Steering) baharu, bar oleng dan spring lebih tegar, penggalak (booster) brek dari Mustang GT Performance Pack Level 2, subkerangka (subframe) belakang dengan sesendal (bushings) lebih tegar dan toe-link belakang daripada Shelby GT500.
Roda pula menggunakan saiz 19 inci x 9.5 inci di depan dan 19 inci x 10 inci dengan corak lima rongga berwarna Tarnished Dark. Versi Handling Package lebih lebar iaitu 19 inci x 10.5 inci di depan dan 19 inci x 11 inci di belakang.
Untuk warna, pembeli ditawarkan pilihan seperti Iconic Silver, Shadow Black, Oxford White, Velocity Blue, Twister Orange, Race Red, Grabber Yellow manakala Fighter Jet Gray eksklusif buat Mach 1 dengan Appearance Package sahaja.
Ford Mustang Mach 1 dijadual untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat dan Kanada pada tahun 2021.
Buat pengguna tempatan, Ford sebelum ini pernah memasarkan Mustang secara rasmi sebelum dihentikan. Adakah penjualannya bakal disambung atau Mach 1 ditawarkan? Kami tiada jawapan setakat ini.
BACA: FORD FOCUS ST TAMBAH 50PS/95NM GUNA KIT MOUNTUNE
BACA: RISAU RIM DICURI? FORD BUAT NAT DARI SUARA PEMILIK!
BACA: INI KOS PENJAGAAN SEBUAH FORD MUSTANG!