Buletin

JUALAN EV HYUNDAI DI THAILAND DIRAMALKAN MENURUN GARA-GARA PERANG HARGA PENGELUAR EV CHINA

Hyundai Mobility Thailand memberi amaran bahawa jualan kenderaan elektrik (EV) tahun ini di Thailand mungkin kurang daripada 130,000 unit.

Syarikat itu menyebut perang harga yang berterusan di kalangan pengeluar EV China sebagai halangan utama, sekaligus membawa kepada ketidakstabilan harga kereta dan mengecewakan bakal pembeli.

Pengarah urusan Hyundai Mobility Thailand, Wallop Chalermvongsavej berkata, “Pembeli lebih suka menunggu dan melihat kerana mereka tidak tahu sama ada harga EV akan terus menurun.”

Tambahnya lagi, pergolakan harga bermula tahun lepas apabila beberapa firma China mengurangkan harga EV untuk menarik pembeli berpotensi di tengah-tengah persaingan yang semakin meningkat.

“Langkah mengurangkan harga juga didorong oleh keperluan untuk mengurangkan stok,” kata Wallop.

Hyundai, yang meletakkan EV dalam kategori premium, pada mulanya mengunjurkan penjualan sehingga 130,000 EV tahun ini.

Bagaimanapun, perkembangan baru-baru ini telah menyebabkan syarikat menyemak semula anggaran kepada 100,000 unit, penurunan ketara berbanding jumlah tahun lepas iaitu sebanyak 80,000 unit.

Walaupun begitu, Wallop meramalkan jualan EV akan memperoleh bahagian pasaran sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada jualan domestik di Thailand, di mana kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) masih menjadi pilihan utama.

Pelancaran model EV baharu oleh syarikat kereta seharusnya membantu meningkatkan bahagian jualan EV,” ujar Wallop.

“Tahun lepas, jumlah jualan kereta domestik, termasuk ICE dan kereta elektrik, mencecah 780,000 unit.”

Untuk rekod, dua bulan pertama tahun ini menyaksikan kemerosotan dalam jualan kereta, dengan penurunan 21.9 peratus tahun ke tahun kepada 107,657 unit.

Kejatuhan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh bank mengenakan kriteria lebih ketat untuk pinjaman kereta disebabkan peningkatan pinjaman tidak berbayar apabila tahap hutang isi rumah meningkat, lapor Bangkok Post.

Google ads
Back to top button