
“PROSES PEMERIKSAAN KENDERAAN ADALAH TELUS, BERTAULIAH, TIDAK SEMBUNYIKAN ISU” – PUSPAKOM
PUSPAKOM baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan mengenai kebimbangan orang ramai mengenai peranan PUSPAKOM dalam menangani masalah kenderaan, terutamanya dalam kes aduan ujian brek Chery Omoda 5.
Menurutnya, PUSPAKOM memahami kepentingan amanah dan saksama dalam pemeriksaan kenderaan serta telah menegakkan piawaian pemeriksaan yang ketat.
“Komitmen kami terhadap kesaksamaan digambarkan dalam pelaksanaan, proses serta prosedur, yang direka untuk mengekalkan tahap integriti dan kebolehpercayaan tertinggi,” katanya.
PUSPAKOM turut menjelaskan bahawa adalah tidak betul mengatakan jenama kereta di Malaysia menggunakan PUSPAKOM untuk bersembunyi tentang isu kenderaan.

“Peranan utama PUSPAKOM adalah untuk menjalankan pemeriksaan bagi memastikan kenderaan mematuhi piawaian kelayakan jalan raya.”
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata, “Proses pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM adalah bertauliah, diperakui oleh Piawaian Malaysia dan MS ISO.”
“Piawaian pemeriksaan berasaskan pada tanda aras yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan UNECE World Forum,” tambahnya.
Untuk makluman, PUSPAKOM tidak mendiagnosis kerosakan mekanikal tetapi pemeriksaan PUSPAKOM adalah menyediakan bacaan atau keputusan yang berfungsi sebagai petunjuk tentang sebarang kemungkinan kerosakan, kemudiannya memerlukan diperiksa lanjut oleh pengilang atau mekanik berkelayakan.
Pengilang mempunyai peranan penting dalam memastikan kualiti dan keselamatan kenderaan mereka termasuk menyediakan kenderaan yang memenuhi jangkaan prestasi.
Pemeriksaan kenderaan adalah untuk membantu pemilik kenderaan bagi memastikan kenderaan mereka selamat dan layak dipandu di atas jalan, serta mematuhi piawaian diperlukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kenyataan sama, PUSPAKOM mengekalkan dasar pintu terbuka untuk mana-mana pengeluar menguji kelayakan jalan kenderaan mereka.