YAMAHA DEDAH PATEN MT-07 DENGAN GEAR SEMI-AUTOMATIK
Sistem E-Clutch yang diperkenalkan Honda pada jentera CBR650R dan CB650R 2024 mencuri tumpuan ekoran menjadi alternatif kepada sistem gear konvensional dan DCT (Dual Clutch Transmission) yang lebih kompleks.
Sistem E-Clutch juga merupakan usaha Honda dalam memastikan penunggang mendapat kawalan jentera yang optimum di samping lebih praktikal.
Dalam perkembangan terbaru, pesaing utama, Yamaha juga didakwa sedang membangunkan teknologi sama berdasarkan paten terbaru yang difailkan baru-baru ini.
Menurut paten berkenaan, Yamaha sedang membangunkan gear semi-automatik bagi model MT-07.
Bagaimanapun, ketika sistem E-Clutch Honda mengekalkan tuas klac (clutch lever) dan pedal gear, sistem gear pada Yamaha pula hanya mengguna pakai butang pada ‘handlebar’ dan tiada tuas klac dan pedal gear pada kaki.
Lakaran paten juga jelas membuktikan ketiadaan tuas klac dan pedal gear pada bahagian kaki.
Yamaha pernah memperkenalkan sistem sama – dikenali sebagai YCC-S (Yamaha Chip Controlled Shifting) – pada 2006 menerusi FJR1300 namun model itu masih lagi mengekalkan tuas klac dan pedal gear kaki.
Apa yang pasti, sistem E-Clutch dibangunkan Honda dilihat menjadi pemangkin kepada Yamaha untuk turut memperkenalkan sistem gear yang lebih inovatif pada MT-07 yang juga menjadi pesaing kepada CBR650R dan CB650R.
Pada masa sama, memandangkan enjin parallel-twin tersebut turut diguna pakai pada YZF-R7 dan Tenere 700, terdapat kemungkinan besar sistem sama akan turut diterapkan pada kedua-dua model berkenaan pada masa akan datang seperti yang dipamerkan lakaran paten kedua yang memaparkan sebuah R7.
Yamaha juga mencadangkan bahawa sistem gear tersebut turut boleh digunakan dalam mod automatik sepenuhnya tanpa perlu menekan butang naik dan turun untuk menukar gear.