Buletin

NISSAN Z MUNGKIN DILANCARKAN NOVEMBER DEPAN

Para peminat kereta sport Nissan Z memang sudah tidak sabar untuk menunggu model itu dilancarkan. Walaupun timbul khabar angin bahawa jentera itu bakal diperkenalkan pada awal bulan Mei, nampaknya kita terpaksa menunggu lebih lama. 

Sehingga kini, Nissan masih mengunci mulut tentang tarikh pelancaran Nissan Z. Berdasarkan kepada laporan terbaharu daripada forum Nissan Z, kereta itu mungkin diperkenalkan secara rasmi pada 15 November depan. 

Maklumat itu didakwa diperoleh daripada pegawai Nissan. Namun, masih tidak jelas apakah jawatan yang dipegang oleh individu tersebut. Apa pun, jika berita ini benar kita perlu menunggu hampir enam bulan lagi untuk melihat model produksi Nissan Z. 

Mujurlah kita sudah tahu banyak mengenainya. Foto-foto spesifikasi produksi yang bertebaran di internet jelas menunjukkan ia tidak jauh berbeza dengan model Z Proto yang didedahkan tahun lalu. Perubahan ketara hanya pada lip spoiler. 

Nissan Z bakal dijana oleh enjin V6 turbo berkembar bersesaran 3.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa 400hp. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear enam kelajuan manual atau transmisi automatik 9G-Tronic yang diambil daripada Mercedes-Benz. 

Dari segi harga, Nissan Z dijangka dijual pada harga bermula AS$34,995 (RM145,000) seunit, jauh lebih murah berbanding Toyota Supra 2.0L.   

Google ads
Back to top button