
BMW R 1300 R 2026 DIRASMIKAN – 145HP, 149NM
Selepas beberapa hari berkongsi teaser, BMW Motorrad dengan rasminya memperkenalkan BMW R 1300 R, model terkini yang dipacu platform Boxer 1300cc baharu.

Pelancaran R 1300 R menyaksikan tiga model kini telah mengisi keluarga Boxer 1300 selepas GS dan GS Adventure dengan R 1300 RT dan R 1300 RS dijangka akan turut serta tidak lama lagi.
Ketika R 1300 GS dan GS Adventure hadir dengan rupa bentuk dan keupayaan adventure, R 1300 R pula diposisikan sebagai model yang lebih moden dan berprestasi tinggi.

Meskipun bernadikan enjin yang lebih besar namun R 1300 R ini tidak berada dalam kelas sama seperti S 1000 R dan M 1000 R yang jauh lebih berkuasa. Hasilnya, platform 1300cc dengan teknologi ShiftCam ini menawarkan 145hp pada 7,750rpm dan 149Nm pada 6,500rpm.
Bagi tahun 2026, R 1300 R hadir dengan empat varian; Standard, Exclusive, Performance dan Option 719 Kilauea.

Apa pun, R 1300 R 2026 kelihatan jauh berbeza dengan generasi sebelumnya (R 1250 R) dengan persamaan yang dapat kami kenal pasti hanyalah penggunaan rim 17-inci.
Bahagian depan tampil dengan lampu utama yang lebih tajam manakala rupa bentuk keseluruhan kelihatan lebih besar. Meskipun begitu, BMW memaklumkan bahawa R 1300 R ini masih lagi mengekalkan berat yang sama seperti R 1250 R sebelumnya (239kg).

Ergonomik juga berbeza dengan berat penunggang kini ditempatkan ke bahagian depan berbanding R 1250 R. Kedudukan handlebar juga lebih rendah dan kedeepan sementara footpeg telah beralih ke belakang.
Dalam pada itu, BMW turut melengkapkan R 1300 R ini dengan Automated Shift Assistant (ASA) secara standard selain tiga mod menunggang; Rain, Road dan Eco.

Antara pakej elektronik lain turut ditawarkan termasuk engine drag torque control, Dynamic Traction Control dan ABS Pro.
Sementara itu, R 1300 R turut dipadankan dengan fork upside/down (terbalik) 47mm dengan jarak pergerakan 140mm sementara EVO Paralever di belakang menawarkan jarak gerak 130mm. Sistem brek pula terdiri dari kaliper brek 4-piston depan dan 2-piston di belakang dan dipadankan dengan ABS Pro secara standard.

Ciri lain turut ditawarkan teramsuk skrin TFT 6.5-inci, pencahayaan LED penuh, soket 12V, soket USB-C serta tangki bahan api berkapasiti 17L.
GALERI: BMW R 1300 R 2026











