Buletin

VOLVO XC90 RASMI DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM434K

Volvo Car Malaysia bukan sahaja memperkenalkan EX90 ke pasaran tempatan, malah turut melancarkan XC90 facelift yang hadir dengan rekaan lebih menarik serta diberi sentuhan lebih segar.

XC90 baharu ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa – T8 hibrid plug-in atau B5 hibrid ringan – kedua-duanya menggunakan enjin 2.0 liter bersama transmisi Geartronic lapan kelajuan yang memacu semua roda.

Dari segi luaran, XC90 menerima pembaharuan pada gril dan unit lampu utama LED, termasuk reka bentuk bampar yang lebih tajam serta kemasan lampu siang (DRL) yang lebih menyerlah.

Bahagian belakang juga tidak terkecuali dengan rekaan baharu, termasuk corak lampu dan lubang udara yang diperbesarkan dan diserlahkan lagi melalui pilihan rim daripada saiz 20 hingga 22-inci.

Masuk ke ruang kabin, ia dilengkapi paparan infotainmen skrin sentuh 11.2-inci, manakala sistem audio premium Bowers & Wilkins masih dikekalkan walaupun dengan sedikit pengurangan kuasa kepada 1,100 watt (daripada 1,400 watt sebelum ini).

Elemen kemewahan lain seperti tombol gear kristal Orrefors, pemegang cawan, pengecas telefon tanpa wayar berteknologi Qi serta pencahayaan ambien yang telah dikemas kini memberikan sentuhan mewah dan lestari pada ruang dalaman.

Empat pilihan warna ditawarkan – Onyx Black, Denim Blue, Crystal White dan Vapour Grey – semuanya dipadankan dengan dalaman Charcoal, upholsteri kulit Nappa Charcoal berpengudaraan, serta hiasan kayu Grey Ash.

Beralih pada kuasa, T8 hibrid plug-in atau B5 mild hibrid – kedua-duanya menggunakan enjin 2.0 liter dan digabungkan bersama motor elektrik dalam XC90 Ultra T8 menghasilkan kuasa gabungan maksimum 462hp dan tork 709Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.3 saat.

Sementara itu, XC90 Ultra B5 menghasilkan kuasa maksimum 263hp dan tork 390Nm dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat.

Bateri berkapasiti 18.8 kWh masih dikekalkan, memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya hingga 77km.

Volvo tidak pernah berkompromi dari aspek keselamatan. Antara sistem keselamatan termaju yang ditawarkan termasuk:

  • Brek kecemasan automatik (Autonomous Emergency Braking)
  • Sistem bantuan pemanduan separa automatik Pilot Assist (Tahap 2)
  • Perlindungan Run-Off Road
  • Pemantauan titik buta (Blind Spot Monitoring)
  • Amaran lintasan trafik belakang (Rear Cross-Traffic Alert)

Untuk keselesaan dan kestabilan pemanduan, XC90 turut dilengkapi sistem suspensi udara yang boleh dilaras – turun sebanyak 20mm atau naik sehingga 40mm.

Beralih pada harga, varian Ultra T8 ditawarkan tanpa kenaikan harga berbanding model tahun sebelumnya, iaitu RM434,888 untuk Semenanjung Malaysia dan RM434,457 untuk Sabah dan Sarawak.

Manakala varian Ultra B5 pula berharga RM418,888 dan RM418,457.

XC90 baharu ditawarkan dengan perkhidmatan digital lima tahun, bantuan tepi jalan 24 jam, serta jaminan kenderaan tanpa had jarak perjalanan. Untuk ketenangan minda pengguna, bateri voltan tinggi dijamin selama lapan tahun.

GALERI:

Google ads
Back to top button