
NISSAN Z 2023 RASMI DILANCARKAN. ENJIN V6 400HP, 3 PILIHAN VARIAN
Selepas Nissan 370Z melakukan debut lebih sedekad lalu, penggantinya kini akhirnya tiba. Nissan Z 2023 yang sudah lama ditunggu-tunggu itu diperkenalkan oleh Nissan di New York.
Seperti yang boleh dilihat, penampilan luarannya tidak jauh berbeza dengan model konsep Z Proto. Perubahan paling ketara yang diterima oleh pesaing kepada Toyota Supra itu hanyalah trunklid spoiler bagi membuatkan kelihatan lebih agresif.
Secara keseluruhannya Z 2023 masih mengekalkan DNA rekaan generasi pertama Z dengan garis badan dan siluet yang maskular. Gril hadapan berpetak yang mencetuskan kontroversi itu nampaknya dikekalkan. Sementara sepasang lampu utama dengan rekaan tersendiri dan lampu nyalaan siang (DRL) LED melengkung mengingatkan kita kepada model Fairlady 240ZG tahun 1970-an.

Z serba baharu itu dikuasakan oleh enjin turbo berkembar V6 bersesaran 3.0 liter yang mampu menjana 400hp dan tork 475Nm. Enjin itu dipadankan dengan pilihan kotak gear manual enam kelajuan bersama sistem kawalan pelancaran temaju dan driveshaft yang diperbuat daripada komposit gentian karbon serta rev-matching.
Bagi mereka yang malas menukar gear, dapatkan sahaja versi yang dilengkapi kotak gear automatik 9 kelajuan.
Berbanding 370Z, Z 2023 menggunakan penyerap hentak monotube pada roda hadapan dan belakang dengan diameter lebih besar bagi meminimumkan hentakan ketika melalui permukaan tidak rata. Suspensi double-wishbone aluminium pula tampil dengan geometri baharu.

Manakala sistem stereng kuasa elektronik dan ketegaran badan yang telah dipertingkatkan menyumbang kepada prestasi ketika mengambil selekoh sebanyak 13 peratus.
Varian automatik hadir bersama mode pemanduan Standard dan Sport yang menawarkan kawalan pecutan lebih baik, selain profil sterng sports, peningkat bunyi aktif dan tetapan kawalan yang dinamik. Tugas membrek pula diserahkan kepada angkup aluminium empat omboh di hadapan dan angkup dua omboh di belakang.
Jentera itu ditawarkan dalam dua varian iaitu Sport dan Performance. Performance menerima rim bersaiz 19 inci yang dibalut oleh tayar bersaiz 255/40 di hadapan dan 275/35 di belakang, di samping limited slip differential jenis klac mekanikal. Varian Sport pula dipasang dengan rim bersaiz 18 inci dengan tayar bersaiz 245/45 depan belakang.

Pelanggan juga boleh mendapatkan varian istimewa Pro Spec yang hadir dalam 240 unit sahaja. Ia dibezakan menerusi angkup brek berwarna kuning, rim warna gangsa, tempat duduk kulit bersama sulaman dan jahitan benang kuning.
Ruang kabin mengadaptasi rekaan retro tetapi radikal. Ruang tersebut diserlahkan oleh kluster digital bersaiz 12.3 inci. Bahagian atas papan pemuka dan skrin infohibur dipasang dengan tiga meter analog yang memaparkan maklumat tekanan boost, pecutan turbo dan voltan. Pembeli boleh memilih warna dalaman sama ada hitam, merah atau biru.
Nissan masih belum mengumumkan harga rasmi untuk Z 2023, namun ia dijangka ditawarkan pada harga bermula AS$40,000 (RM169,600) seunit.
- BACA: IKTIBAR DARI INSDEN NISSAN SKYLINE R34 UNTUK PARA PEMANDU
- BACA: NISSAN SAHKAN GT-R NISMO 2022 HABIS TERJUAL. SPECIAL EDITION, WARNA KELABU JADI PILIHAN
- BACA: NISSAN Z PROTO DAPAT SENTUHAN RETRO, MODEN. ENJIN V6 TURBO BERKEMBAR, TRANSMISI MANUAL
- BACA: SEGALANYA TENTANG NISSAN Z32 300ZX. MODEL NISSAN YANG RARE
GALERI