Buletin

NISSAN TERIMA ELEKTRIK SEBAGAI BAYARAN MELETAK KERETA!

Bagi menggalakkan penggunaan kereta elektrik, pelbagai kaedah yang digunakan oleh pengeluar. Potongan harga saja tidak memadai dan memerlukan pakej tambahan yang boleh memudahkan pengguna bertukar kepada kereta tersebut.

Ini cara yang dibuat oleh Nissan, bayaran untuk meletak kereta elektrik boleh dibuat dalam bentuk elektrik.

Kaedah itu adalah yang pertama seumpamanya di dunia di mana pemandu kenderaan elektrik boleh nyahcas tenaga bateri untuk bayaran meletak kereta sambil melawat ruang pameran Nissan Pavilion di Yokohama, Jepun.

Sistem pembayaran itu satu dari pelbagai inovasi yang boleh dialami di Pavilion dan dibina bagi menonjolkan bagaimana Nissan menggerakkan manusia ke arah dunia lebih baik.

Nissan bukan baharu dalam inovasi sebegini. Melalui program Nissan Energy Share dan Nissan Energy Storage, tenaga elektrik dari bateri EV boleh disimpan, dikongsi dan dipindah guna untuk menguasakan rumah atau perniagaan.

Menarik bukan? tenaga yang ada boleh dialihkan dan tidak menghairankan mengapa Nissan menerima elektrik sebagai bentuk bayaran meletak kereta. 

Nissan Pavilion mempunyai keluasan 10,000 meter persegi dan dilengkapi ciri dan teknologi mesra alam seperti sifar pelepasan (zero emission), panel solar dan dibekalkan dengan tenaga boleh diperbaharui hidroelektrik.

Satu lagi aspek menarik ialah Nissan Chaya Cafe dioperasi menggunakan kuasa yang dibekalkan oleh model elektrik Nissan LEAF dan tenaga solar.

Pengunjung juga boleh menikmati pengalaman maya yang membolehkan mereka merasai keterujaan kereta lumba elektrik Formula E atau model baharu EV Nissan Ariya.

Ada pelbagai lagi teknologi lain ditawarkan seperti sistem bantuan pemanduan ProPILOT dan teknologi Invisible-to-Visible (I2V) yang menggabungkan maklumat dari dunia sebenar dan maya bagi membantu pemandu.

Pengunjung dewasa atau kanak-kanak boleh mempelajari mengenai I2V dan bagaimana teknologi tersebut berupaya menjadikan pemanduan lebih mudah, selesa dan mengujakan apabila dilengkapi di dalam kereta pada masa akan datang.

Di Mobility Hub yang terletak di depan depan Pavilion, ditawarkan pelbagai perkhidmatan seperti perkongsian kereta EV dan penyewaan basikal oleh Nissan dan komuniti setempat. 

Selain tawaran terbaru melalui pameran Pavilion, Nissan juga membuktikan komitmen mereka dengan memeterai perjanjian dengan kerajaan setempat bagi menggunakan LEAF sebagai bateri bergerak yang boleh membekalkan tenaga semasa bencana alam.

Di dalam satu perjanjian lain, Nissan turut memindah guna bateri EV untuk menguasakan lampu jalan!

Banyak juga kegunaan EV dan bateri yang boleh dimanfaatkan. 

BACA: PADA 1969 NISSAN SKYLINE 2000GT-R DIPERKENAL, 4 PINTU SEBELUM 2 PINTU

BACA: NISSAN JUKE AUSTRALIA, 1.0 TURBO 3 SILINDER DAN DCT!

BACA: INI HARGA NISSAN FRONTIER 2020 DI AS (IYA, MODEL NAVARA LAMA MASIH DIJUAL)

Google ads
Back to top button