Buletin

NISSAN JUKE AUSTRALIA, 1.0 TURBO 3 SILINDER DAN DCT!

Nissan tidak pernah kurang dari mempunyai model unik dan bagus. Selain GT-R yang sudah berusia lebih sedekad dan merupakan legenda moden, Nissan mempunyai Juke.

Anehnya Juke bukan kereta super atau berprestasi, ia adalah SUV dalam bentuk unik. Bukan juga SUV keluarga tetapi bersaiz kompak.

Juke generasi pertama diperkenalkan pada 2010 dan dipasarkan di banyak buah negara dari United Kingdom, Jepun, Amerika Syarikat, Australia sehingga ke Indonesia.

Pengguna tempatan turut boleh memilikinya dari pengedar kereta import terpakai.

Nissan Juke generasi pertama

Juke generasi pertama lama di pasaran sehingga melebihi kitaran produk biasa iaitu lima hingga enam tahun.  Di Australia misalnya masih ditawarkan pada tahun 2018.

Pada September 2019, Juke generasi kedua diperkenalkan secara serentak di bandar besar Eropah iaitu London, Paris, Milan, Barcelona dan Cologne.

Kini giliran Juke untuk memasuki pasaran Australia pula. Pada masa sekarang, Juke tidak bersendirian sebagai SUV funky kerana ditemani Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3.

Nissan Juke generasi pertama

Dari segi saiz, berikut ialah ukuran Juke baharu berbanding sebelumnya:

  • Panjang: 4210mm (+75mm)
  • Lebar: 1800mm (+35mm)
  • Tinggi: 1595mm(+30mm)
  • Berat tanpa penumpang: 1251-1274kg.

Untuk reka bentuk, Juke masih membawa konsep sebelumnya dengan identiti unik yang tersendiri.

Lampu bulat yang ikonik pada bampar masih kekal tetapi dalam bentuk Y manakala lampu LED bahagian atas pula tampil nipis. Gril pula semestinya membawakan identiti V Motion Nissan.

Bahagian tepi juga kekal membawakan identiti sebelumnya dan dikemaskan lagi pada tiang C dengan efek seperti bumbung terapung yang turut boleh dilihat pada model Nissan lain seperti Sentra (Sylphy) dan Altima (Teana) baharu.

Untuk lebih pilihan dan gaya, Nissan menawarkan roda besar saiz 19 inci selain 17 inci.

Menggerakkan Juke ialah enjin 1.0 liter turbo tiga silinder (HR10 DDT) berkuasa 113 hp dan tork 180 Nm yang dipadan bersama transmisi klac berkembar automatik tujuh kelajuan.

Transmisi itu turut boleh dikawal melalui paddle shifter pada stereng.

Satu keunikan enjin kecil tersebut ialah teknologi Mirror Bore Spray Coating (BSC) Liner yang diambil dari GT-R bagi mengurangkan geseran omboh di dalam silinder dan memperbaiki tahap penggunaan minyak.

Berdasarkan ujian standard ADR81/02 (kitaran kombinasi), penggunaan minyak Juke ialah 5.8L/100 km dan menjadikannya di antara SUV paling cekap bahan api di Australia.

Berikut pula, senarai kelengkapan keselamatan standard pada Juke:

  • Rearview camera and rear parking sensors, Emergency Stop Signal, Forward Collision Warning, Rear Cross-Traffic Alert, Intelligent Emergency Braking (pedestrian & cyclist), Lane Departure Warning and Intelligent Lane Intervention, Intelligent Driver Alert, Blind Spot Warning, Traffic Sign Recognition, Active Speed Limiter
  • Hill Start Assist, Intelligent Trace Control, Intelligent Ride Control

Untuk harga dan varian Juke dibahagikan kepada empat iaitu ST $27,990 (RM83,364), ST+ $30,740 (RM91,555), ST-L $33,940 (RM101,085) dan paling premium TI berharga $36,490 (RM108,680). #

Untuk pasaran tempatan, Nissan sudah mempunyai perancangan untuk menawarkan sebuah lagi SUV kompak iaitu Kicks dan berkemungkinan Juke seperti sebelumnya tidak dijual secara rasmi.

Satu lagi kaedah ialah melalui pengedar kereta import terpakai, bagaimanapun setakat ini Juke baharu masih belum dijual di Jepun dengan laman web Nissan masih menyenaraikan Juke generasi pertama.

Kredit foto: Nissan

Google ads
Back to top button