ONE HASIL PROTOTAIP BATERI, JARAK GERAK 1,210 KM SEKALI CAS
Syarikat teknologi bateri Our Next Enerty (ONE) berjaya menghasilkan pek bateri yang membolehkan Tesla Model S dipandu sejauh 1,210 km untuk sekali cas penuh.
Malah, dalam satu ujian yang dijalankan pada Disember lalu, sedan elektrik itu berjaya mencapai jarak yang disebutkan itu tadi dengan kelajuan purata 89 km/j tanpa memerlukan pengecasan.
Pek bateri Gemini itu mempunyai kapasiti 203.7 kWh dan menurut ONE ia mampu mengatasi masalah kebimbangan jarak di kalangan para pemilik, serta mempercepatkan lagi pemilikan kenderaan elektrik.
Menurut pengasas dan CEO ONE, Mujeeb Ijaz menjelaskan, “kami mahu mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik dengan menyingkirkan masalah kebimbangan jarak yang membelenggu kebanyakan pelanggan pada hari ini.
“Kami juga kini sedang cuba untuk menjadikan bateri prototaip ini menjadi produk sebenar Gemini yang membolehkan perjalanan lebih jauh untuk sekali cas penuh, dan dalam masa yang sama menambahbaik kos dan keselamatan menggunakan bahan-bahan yang lebih lestari.
Sumber: Auto Express UK