
SAKIT HATI KOS BAIKI MAHAL SANGAT, LELAKI LETUPKAN TESLA MODEL S GUNA 33KG DINAMIT
Gara-gara sakit hati dengan kos pembaikan yang sangat tinggi, seorang lelaki di Finland mengambil keputusan untuk meletupkan sebuah Tesla Model S miliknya.
Kereta elektrik berharga AS$95,000 (RM 398,563) itu dibeli oleh Tuomas Katainen pada tahun 2013 dan sudah mencatat perjalanan sejauh 1,497 kilometer.
Setelah sebulan berada di bengkel, mekanik memberitahu bahawa dia perlu menggantikan keseluruhan sel bateri pada harga 20,000 euro (RM95,004).
‘’Jadi saya beritahu mereka saya akan mengambilnya tanpa dibaiki. Namun, saya akan meletupkannya,’’ kata Tuomas kepada pesohor YouTube daripada saluran Pommijätkät.
Dia juga berharap wang yang dijana daripada tontonan di YouTube membolehkannya membeli sebuah kereta baharu.
Tuomas mendapatkan bantuan pasukan lagak ngeri yang menjalankan rancangan realiti di saluran itu untuk meletupkan keretanya.
Kru lagak ngeri itu meletupkan kereta itu di sebuah bekas tapak kuari di kawasan bersalji Jaala. Mereka meletakkan kira-kira 33 kilogram bahan letupan pada badan kereta tersebut.
Patung manusia yang dipakaikan topi keledar dan topeng mirip wajah pengasas Tesla, Elon Musk dijatuhkan dari sebuah helikopter sebelum diletakkan di tempat duduk pemandu.
Rakaman menunjukkan Tuomas bersama kru tersebut bersorak setelah kereta itu diletupkan. Lelaki itu menganggap bahawa letupan tersebut lebih bermakna daripada menyimpan kereta Tesla yang tidak berfungsi.
Sehingga kini, video tersebut sudah mencatat lebih 3.5 juta tontonan. Ia menjadi video paling popular dalam saluran Pommijätkät.