
PEMILIK POLESTAR 2 TERKEJUT, KOS GANTI PEK BATERI RM350K, LEBIH MAHAL DARIPADA HARGA KERETA!
Seorang pemilik kereta elektrik Polestar 2 di China terpaksa mengurut dada apabila mengetahui kos sebenar untuk proses penggantian pek bateri keretanya yang rosak akibat kemalangan.
Menurut laporan InsideEVs, kos untuk menukar pek bateri baharu itu adalah bernilai 540,000 yuan (bersamaan RM350,605), jauh lebih mahal berbanding harga asal kereta tersebut (298,350 yuan atau RM193,709).
Laman web CN EV Post yang memetik sumber berita tempatan kemudian mengajukan hal tersebut kepada Polestar untuk mengesahkan kos penggantian pek bateri Polestar 2 itu.
Mereka kemudian menerima kenyataan rasmi yang menyebut kos sebenar penggantian bateri adalah sekitar 400,000 yuan (RM259,708) sahaja, manakala selebihnya diperuntukkan untuk kos pembaikan lain yang diperlukan pada Polestar 2 itu.
Laman Jiemian News turut menyenaraikan kos penggantian pek bateri untuk beberapa model EV seperti berikut:
Xpeng P7 (pek bateri 80 kWh) – 110,000 yuan (RM71,420)
Xpeng P5 (pek bateri 60 kWh) – 90,000 yuan (RM58,434)
Xpeng G3 (pek bateri 50.5 kWh) – 85,000 yuan (RM55,188)
Li ONE (pek bateri 37.2 kWh) – 70,000 yuan (RM45,449)
Mahal, namun berbaloikah untuk anda melabur sejumlah wang yang besar untuk penggantian pek bateri kereta elektrik anda?
Tepuk dada, tanyalah dompet! – InsideEVs