HONDA RC213V-S PECAH REKOD LELONGAN. TERJUAL PADA HARGA RM1.03 JUTA
Jentera Honda RC123V-S yang masih berada dalam kotak dan serba baharu melakar rekod lelongan apabila dijual pada harga £182,500 (RM1.03 juta).
Ia sekali gus menjadi motosikal buatan Jepun paling mahal pernah dijual pada lelongan.
Motosikal itu tersimpan rapi dalam kotak penghantaran asal, tidak pernah ditunggang dan memiliki perbatuan 1.6 km sahaja pada odometer.
Honda RC123V-S dilancarkan pada tahun 2015 merupakan jentera MotoGP untuk jalan raya dengan berat 160 kg dan 215 bhp.
Jentera tahun 2016 itu mendapat khidmat enjin V4 empat lejang 999 cc dilengkapi kit perlumbaan HRC.
Selain itu, ia turut hadir dengan sistem ekzos titanium, ECU yang telah diubah semula, kabel kawalan jauh untuk brek hadapan, quickshifter rekaan perlumbaan dan pencatat data.
Firma pakar lelongan, Collecting Cars telah mengendalikan penjualan motosikal Honda RC123V-S. – visordown