Buletin

OPERASI PENGELUARAN PROTON KINI STABIL. TAK LAMA LAGI SAMPAI LAH KERETA TU

Operasi pengeluaran PROTON dilaporkan telah stabil dengan empat bulan lagi sebelum tahun 2022 berakhir. Bekalan komponen pengeluar kereta nasional itu kini lebih konsisten dan terurus demi memastikan mereka dapat menghasilkan sebanyak mungkin kereta. 

Justeru, PROTON telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan bilangan trak penghantaran lebih 100 peratus  menjelang akhir tahun ini. Langkah itu adalah untuk memastikan pengedar menerima stok secepat mungkin, seterusnya memberi manfaat kepada pelanggan yang sabar menunggu kenderaan mereka.

Bulan lalu, jumlah jualan eksport PROTON mengatasi volumnya berbanding tahun lepas. Dengan 938 unit dieksport pada Ogos, syarikat telah mencapai jumlah bulanan yang tertinggi sejak Mac 2013, jurang sebanyak 113 bulan.

Ini telah meningkatkan jumlah eksport untuk tahun 2022 kepada 4,040 unit dan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pengeksport kenderaan utama Malaysia.

Bagi jualan model individu pada Ogos, Proton X70 dan Proton X50 mencatat rekod eksport baharu. Manakala Proton Saga mencapai angka eksport terbaiknya sejak Mac tahun ini. Pertumbuhan dijangka meningkat pada lewat tahun ini dengan pelancaran rasmi semula PROTON di Afrika Selatan dijadualkan pada September.

“Jualan eksport PROTON terus mencapai tahap baharu setiap bulan dan membuktikan bagaimana jenama ini berjaya menarik minat pelanggan baharu di pasaran luar negara. 

Jualan eksport adalah penting untuk syarikat mencapai matlamat jangka panjang dan membantu meningkatkan imbangan perdagangan untuk Malaysia sambil mempamerkan kualiti dan kepintaran pembekal Malaysia,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.

Google ads
Back to top button