Buletin

ORKESTRA FILHARMONIK UK BAKAL BUAT PERSEMBAHAN DI TOYOTA CLASSICS 2017

Orkestra Konsert Di Raja Filharmonik yang pernah berkerjasama dengan ramai bintang-bintang tersohor antarabangsa lain akan membuat persembahan di Dewan Filharmonik PETRONAS, KLCC pada 31 Oktober 2017.

Toyota Classics merupakan sebuah acara muzik untuk kebajikan yang dibawakan oleh UMW Toyota Motor dan Toyota Motor Corporation sejak 1990.

Kumpulan orkestra yang berasal dari UK ini dikenali dengan kepelbagaian komposisi klasikal, klasikal ringan serta muzik popular. Orkestra ini memiliki reputasi bertaraf dunia kerana bekerjasama dengan artis-artist ternama antarabangsa antaranya seperti Andrea Bocelli, Jose Carreras dan mendiang Luciano Pavarotti sehinggalah kepada ikon budaya popular seperti Liza Minnelli, Sting, Barry Manilow, Tina Turner dan Stevie Wonder.

BACA: ULANGTAHUN KE 25 TOYOTA CLASSIC

Mereka kerap membuat penampilan di festival muzik musim panas di UK dan turut membuat persembahan di pentas-pentas utama seluruh dunia, dari Asia ke Amerika Utara hinggalah Amerika Selatan.

Anthony Weeden selaku konduktor yang bertanggungjawab pula dikenali kerana gaya muziknya yang pelbagai dan melangkaui sempadan kebiasaan.

Kerja-kerja beliau yang pernah menerima anugerah sebelum ini termasuk skor filem Theory of Everything oleh Johann Johannsson, pemenang anugerah Golden Globe bagi skor asli yang turut dicalonkan bagi Hadiah Oscar. Bakatnya membuatkan beliau kerap menerima permintaan untuk menyumbang tenaga dalam orkestra seluruh dunia.

Pemain violin solo, David Juritz turut dikenali melalui rakaman Vivaldi Four Seasons yang telah menerima pujian pengkritik sebagai satu daripada interpretasi terbaik terhadap lagu yang paling kerap dirakam itu.

Acara ini dijangka akan menjadi tarikan di dalam kalendar kebudayaan bagi bulan Oktober di Malaysia. Selain daripada memperkaya aspek kesenian, acara ini juga disasarkan untuk mengumpulkan dana daripada jualan tiket serta derma korporat yang akan disalurkan untuk kegunaan program pembangunan belia.

Kutipan berkenaan akan diserahkan kepada dua penerima utama; Jabatan Muzik, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).

Fakulti di UPM bermatlamat untuk memberdayakan belia melalui muzik sebagai wadah kesihatan mental yang lebih baik. Kumpulan sasaran bagi program ini ialah siswa-siswa UPM, belia dengan kecenderungan tekanan jiwa, masalah keresahan dan tabiat anti-sosial.

PEKA selaku organisasi perlindungan alam sekitar yang ditubuhkan pada 2010 dan telah menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan program penanaman semula serta bengkel kesedaran alam sekitar. Pertubuhan ini akan menganjurkan perlumbaan “Selamatkan Hutan Hujan Kita” (Save Our Rain Forest Race, SORR).

Terdapat seramai 2,000 peserta dijangka mengambil bahagian di dalam perlumbaan mendaki sejauh 16 km melalui kawasan tanaman semula jadi dan mensasarkan untuk menanam semula pokok dan mewujudkan kesedaran terhadap pemuliharaan hujan hujan kia yang unik, yang menjadi kebanggaan Malaysia serta dicemburui oleh negara lain.

“UMW Toyota Motor dengan kerjasama Toyota Motor Corporation Jepun secara berterusan telah membawakan pelbagai persembahan orkestra dari seluruh negara lebih daripada 25 tahun yang sekali gus menunjukkan kesungguhan kami untuk membawakan persembahan muzik terbaik untuk pelanggan dan peminatnya di Malaysia. Lebih penting, ia hanya dikenakan sebahagian sahaja kos yang terlibat dan dalam masa sama menyumbang kepada projek-projek pemberdayaan masyarakat,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

Presiden, Ravindran Kurusamy pula menambah; “UMW Toyota Motor telah memberikan sokongan kepada 65 organisasi kebajikan dan NGO dengan jumlah keseluruhan lebih daripada RM8 juta setakat ini dan akan terus melakukannya kerana sumbangan seperti ini melambangkan kesungguhan kami untuk mewujudkan usaha dan tanggungjawab terhadap warga masyarakat, yang menjadi satu daripada nilai utama organisasi kami.”

Tiket bagi persembahan Toyota Classics ini dijual pada harga yang sangat berpatutan antara RM265, RM212, RM159 dan RM106. Ia akan mula dijual pada 29 Ogos 2017 di Box Office, Dewan Filharmonik PETRONAS atau tempahan boleh dilakukan melalui toyota.com.my.

Google ads
Back to top button