Buletin

YAMAHA RX-Z CATALYZER DIJUAL PADA HARGA RM30K! YANG TAK MINAT TAK PERLU MENGHINA – NETIZEN

Baru-baru ini kecoh dalam kalangan peminat motosikal dua lejang legenda iaitu Yamaha RX-Z apabila dikhabarkan bahawa Hong Leong Yamaha Motor bakal melancarkan semula model tersebut untuk pasaran tempatan.

Namun berita tersebut hilang dibawa angin dan ini bermakna harga RX-Z masih lagi dikawal oleh peminat ‘Hobi Kami Mahal’. Pelbagai cerita dihidangkan kepada kita mengenai harga tak masuk akal. Bahkan ada yang sanggup membayar sehingga RM180,000 termasuklah melakukan pertukaran dengan tanah lot.

Terkini, muncul sekeping foto daripada Facebook Yup Brothers Motor dengan kapsyen “Tahniah kepada pelanggan sebab dapat membeli motosikal impian Yamaha RX-Z Catalyzer dengan harga RM30,000!”

Pastinya hantaran tersebut menerima pelbagai komen daripada warganet. “Cara B40 flex nowadays. Tak Iphone, mesti RXZ.” Komen tersebut antara komen paling banyak mendapat reaksi dari pengguna lain.

Tak kurang juga warganet memberikan reaksi yang positif, “Satu kepuasan. Yang betul-betul kaki atau minat je tahu apa itu erti kepuasan dapat memiliki. Yang tak minat tak perlu menghina.”

Dikatakan harga yang ditawarkan sebenarnya lebih rendah berbanding harga yang diiklankan. Kondisi motosikal itu juga masih baik dan boleh diguna untuk tempoh yang lama, sesuai dengan penjagaannya. Sudah tentu pembeli itu rasa berbaloi dengan apa yang dilaburkan.

Yamaha RX-Z Catalyzer masih lagi menjadi buruan peminat motosikal tersebut. Dijangka ada lagi motosikal model itu dijual dengan harga yang tinggi.

Tidak mustahil juga untuk seseorang melabur sebanyak mungkin untuk memiliki apa yang diidamkan dan kita hanya perlu menunggu berita selanjutnya tentang Yamaha RX-Z kegilaan ramai orang ini.

Google ads
Back to top button