Buletin

SUPER SUV AUDI RS Q8 KINI DI MALAYSIA. 4.8L V8 600PS, BERMULA RM1.7 JUTA!

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini memperkenalkan SUV super Audi RS Q8 yang penuh berkuasa ke dalam rangkaian model tawarannya. Menjadi SUV saiz penuh Audi pertama menggunakan lencana RS, RS Q8 melangkaui sempadan prestasi dalam kelasnya.

Tampil luar biasa pintar dan original, RS Q8 mengetengahkan ciri-ciri termaju Audi yang menggabungkan fleksibiliti mengagumkan serta kegunaan harian untuk mendefinisikan semula genre kenderaan berprestasi tinggi tradisional.

Mampu menjana kuasa sehingga 600PS dan tork 800Nm di antara 2,200 dan 4,500rpm, enjin 4.0 liter biturbo V8 TFSI membolehkan RS Q8 memecut 100km/j dalam masa hanya 3.8 saat – angka yang meletakkannya setara dengan kereta-kereta sports lain. Ia juga berupaya mencapai pecutan tertinggi 305km/j.

Turutan pencucuhan 1-3-7-2-6-5-4-8 menjamin janaan bunyi yang mengasyikkan, ditambah dengan sistem ekzos sport bersama kemasan hujung paip ekzos berwarna hitam. Pemandu juga boleh menukar bunyi enjin melalui sistem Audi drive select.

Kuasa enjin V8 TFSI disalurkan ke sistem pacuan semua roda sepenuh masa quattro menerusi kotak gear lapan  kelajuan standard. Kawalan tork roda terpilih (wheel-selective torque control) menyempurnakan lagi aspek keselamatan dan pengendalian lincah RS Q8.

Ketika mengambil selekoh, ciri quattro sport differential yang dipasang sebagai standard berfungsi mengagihkan kuasa tork di antara roda belakang jika diperlukan. Sistem active torque vectoring ini menambah baik aspek cengkaman, kestabilan dan dinamik.

Sistem suspensi udara adaptif sport khusus untuk RS dengan kawalan redaman bermaksud RS mampu menawarkan prestasi yang sama di litar lumba atau laluan off-road.  

Talaan peredam khas RS menawarkan tetapan yang luas di antara tetapan ke arah keselesaan dan sangat sporty. Olengan badan sewaktu mengambil selekoh pada kelajuan tinggi dapat diminimumkan, terima kasih kepada sistemelectromechanical active roll stabilisation (EAWS).

Dengan jarak kelegaan tanah yang pelbagai, rekaan overhang pendek, pacuan semua roda sepanjang masa quattro dan kawalan menuruni bukit, RS Q8 boleh dipandu dengan tenang dan yakin apabila jalan berturap berakhir.

Sistem pengendalian Audi drive select yang dinamik membolehkan pemandu untuk mengawal aspek pengurusan enjin dan transmisi, tujahan stereng, suspensi udara, stereng semua roda, bunyi enjin dan karekteristik pendingin hawa automatik.

Lapan profail disediakan: comfort, auto, dynamic, efficiency, allroad, offroad serta mode RS1 dan RS2 yang boleh diubah suai secara individu dan khusus untuk RS. Ia boleh diakses secara langsung melalui butang “RS-MODE” pada stereng.

RS Q8 didatangkan standard dengan rim aluminium bersaiz 23 inci bersama rekaan rotor Y 5 jejari. Di sebalik rim yang besar itu tersimpan sistem brek RS dengan cakera komposit berliang bersaiz 420mm di depan dan 370mm di belakang bersama brek seramik merah sebagai ciri standard.

Luaran

Dengan Singleframe berbentuk oktagonal yang mantap, radiator karbon RS dan gril berbentuk sarang lebah dalam kemasan hitam berkilat, RS Q8 tampil dengan wajah penuh yakin. Semua itu kemudian digabungkan dengan corong pengambilan udara sisi dan bilah karbon yang menyerlahkan lagi karekter atletik RS Q8.

Garis bumbung yang melandai dari hadapan ke tiang D dan berakhir pada quattro blisters di atas arca roda. Kemasan strips RS pada warna badan membuatkannya 10mm lebih lebar di depan dan 5mm di belakang, sekali gus memberikan ruang yang lebih besar.

Spoiler bumbung RS pula memberikan gayaan yang padu dan menawarkan kuasa downforce kepada gandar belakang untuk kestabilan ketika dipandu pada kelajuan tinggi. Gegelung Audi, logo RS di depan dan belakang yang berwarna hitam nyata melengkapkan reka bentuk yang garang.

Lampu utama RD HD Matrix LED didatangkan dengan lampu nyalaan siang tiga dimensi signatur bersama karekter digital yang sama seperti lampu belakang LED. Satu jalur lampu dengan latar permukaan hitam berkilat seperti lampu belakang membuatkan penampilannya semakin garang. Lampu utama RS Matrix LED, lampu belakang dan lampu isyarat membelok dinamik diserlahkan menerusi animasi RS apabila kereta dikunci dan dibuka.

Dalaman
Ruang kabin RS Q8 menampilkan rekaan yang kemas dengan panel instrumen nipis dan garis horizontal memberikan rasa yang luas. Elemen utama di dalam kabin ini ialah paparan MMI touch response.

Paparan RS yang istimewa dalam kokpit maya Audi (Audi virtual cockpit) dan paparan MMI menawarkan maklumat seperti tekanan tayar, tork, kuasa, suhu, catatan masa dan g-force. Paparan head-up juga menampilkan grafik-grafik khas RS.

Tempat duduk sports RS hadir dengan balutan kulit Valcona bersama jahitan sarang lebah, serta fungsi ventilasi dan urutan. Elemen-elemen dalaman RS yang lain termasuklah jahitan benang berwarna kelabu pada pad lutut, stereng, karpet lantai dan tali pinggang keledar.

Gayaan tersebut disempurnakan dengan logo-logo RS yang diletakkan pada stereng dan kemasan sisi pintu hadapan beriluminasi. Kulit Nappa pula membalut tuil gear dan perehat tangan pada pintu.

RS Q8 turut menunjukkan kegunaan harian yang tidak dapat dinafikan pada bahagian belakangnya. Apabila penyandar kerusi belakang dilipat, ruang kargo belakang hatch penuh kuasa itu mampu mencecah 1,755 liter.

Interior

Ketersambungan
Rangkaian sistem bantuan yang komprehensif pada RS Q8 termasuklah bantuan jelajah adaptif, bantuan kecekapan, bantuan di simpang, amaran penukaran lorong dan kamera 360 darjah.

Audi RS Q8 didatangkan dalam sembilan pilihan warna: satu kemasan cat solid dan lapan warna metalik atau efek mutiara, bersama perumah cermin sisi karbon dan 11 warna Audi Exclusive.

Audi RS Q8 ditawarkan pada harga bermula RM1,699,990 selain hadir dengan penyelenggaraan percuma selama 3 tahun, di samping jaminan perbatuan tanpa had dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun. Tempahan boleh dibuat di semua Audi Centres di Setia Alam, Glenmarie dan Juru.

GALERI

Google ads
Back to top button