Motosikal

ENGGAN JUAL YAMAHA RX-Z 5 SPEED TAHUN 1985, WALAUPUN DITAWAR RM50K!

Seorang lelaki dari Kampung Pela, Ajil Terengganu menegaskan bahawa dia tidak bercadang untuk menjual sebuah Yamaha RX-Z model 5 Speed keluaran pertama 1985, walaupun ditawarkan pada harga RM50,000.

Motosikal milik Nik Zahari Wan Omar, 58, tular di media sosial apabila ditawarkan harga cukup tinggi oleh seorang ahli perniagaan tempatan, baru-baru ini.

Biapun begitu, dia yang lebih dikenali sebagai Tok Ngoh Nik enggan menjualnya kerana motosikal itu terlalu bernilai dan mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Tok Ngoh Nik memberitahu dia membeli motosikal itu pada tahun 1985 pada harga RM3,300 secara ansuran.

Ramai kenalan yang menyarankan supaya dia menjualnya. Dengan alasan wang hasil jualan boleh digunakan untuk kegunaan masa depan termasuk membeli tanah dan sebagainya. Namun dia tetap enggan berbuat demikian.

“Tidak kisahlah berapa harga yang sanggup ditawarkan, hati saya tidak terbuka lagi untuk menjualnya. Motosikal ini terlalu banyak berjasa kepada saya selama ini. Sejak muda saya menjaganya dengan baik dan menyertai banyak konvoi ke seluruh negeri.

Dia mengakui nombor pendaftaran motosikal itu juga menjadi perhatian dan kegilaan orang ramai.

“Nombor pendaftaran TC 13 itu keluaran 1974 dan pernah seorang peniaga menahan saya di tengah jalan semata-mata ingin membeli nombor pendaftaran itu.

“Dia tawar RM20,000 secara tunai, tetapi saya tidak berminat menjualnya. Terbaharu,  seorang peniaga sanggup membelinya dengan berapa saja harga yang saya tetapkan.

“Saya masih berat hati untuk menjualnya sekarang, tetapi tidak pasti pada masa akan datang,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori kelapa sawit.

Menurutnya, motosikal itu istimewa kerana semua komponen kekal dengan barangan tulen. Walaupun motosikal itu sudah berusia 36 tahun dan pernah digunakan di ladang kelapa sawit, namun semua komponen motosikal kekal baik dan terjaga rapi.

Setiap kali menyertai konvoi atau perhimpunan RX-Z, motosikal itu akan menjadi tumpuan untuk bergambar dan ia memberi kepuasan kepadanya.  

Tok Ngoh Nik tidak pernah terfikir, motosikal yang pernah memasuki ladang kelapa sawit itu akan menjadi perhatian ramai sekarang.

Anaknya, Nik Muhammad Izzuddin Nik Zahari, 29, berkata dia juga peminat RX-Z dan berasa bertuah kerana berpeluang menaiki motosikal keluaran pertama itu.

“Saya juga tidak rela sekiranya ayah menjual RX-Z 5 Speed itu kerana mustahil untuk mendapatkannya semula.

“Walaupun saya mempunyai RX-Z Millenium dan RX-Z Catalyzer, namun kedua-duanya tidak boleh menandingi keseronokan menaiki RX-Z 5 Speed itu,” katanya.

Menurutnya, RX-Z 5 Speed kepunyaan bapanya itu sudah dikenali ramai, maka tidak hairan ramai peminat datang ke rumah untuk melihat motosikal itu. – Harian Metro

Google ads
Back to top button