Motosikal

PESERTA KONVOI RXZ MEMBERS 4.0 MAUT KEMALANGAN DI LPT 2

Seorang peserta program RXZ members 4.0 maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 397.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Ajil, Kuala Berang, Terengganu awal pagi ini.

Allahyarham Mohd Nazli Dasuki, 40, dari Kampung Batu 5, Sungai Tulang, Selangor, dikatakan bersama 19 rakannya berkonvoi untuk menyertai program RXZ members 4.0 yang diadakan di perkarangan Stadium Gong Badak, di sini, esok.

Mangsa bersama rakannya dikatakan menunggang motosikal secara berkonvoi dan berlepas dari Tanjung Karang, Selangor, kira-kira jam 6 petang semalam. Kejadian berlaku apabila mangsa gagal mengawal motosikal lalu terjatuh di atas jalan raya kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Difahamkan, mangsa bersama 19 rakannya menaiki motosikal secara berkonvoi untuk menyertai program RXZ members 4.0 yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Harian Metro

Google ads
Back to top button