Buletin

YAMAHA RX-Z CATALYZER TUKAR DENGAN TANAH LOT, DEMO KENAL BARE

Atas nama hobi, segalanya sanggup untuk ditawarkan demi memenuhi koleksi peribadi. Inilah yang berlaku pada Ahmadnasurddin yang sanggup menawarkan satu tanah lot untuk mendapatkan sebuah Yamaha RX-Z Catalyzer.

Pertukaran motosikal dengan sebidang tanah lot itu nyata mengejutkan banyak pihak termasuk netizen. Terdapat beberapa komen yang mengucapkan tahniah, tidak kurang juga seakan-akan tidak percaya transaksi itu berlaku.

“Saya ternampak dia muat naik iklan di FB kemudian menghubunginya menerusi WhatsApp dan cuba berunding dengan menawarkan tanah untuk ditukar dengan motosikal,” kata Ahmadnasurddin.

Melalui perkongsian Nik Mohd. Zulkiflee Lee, pada awalnya dia hanya menyangka ia satu gurauan. Namun apabila mendapati rakannya, Ahmadnasurddin serius membuat tawaran tersebut, dia bersetuju.

Anggaran harga tanah lot itu sekitar RM70,000, sementara nilai Yamaha RX-Z Catalyzer tersebut dianggarkan mencecah RM35,000.

“Rasanya pembeli mesti dah lama idam nak ada sebuah RXZ, sebab itu sanggup tukar dengan tanah,” tulis Yushairi di ruang komen.

Komen negatif dari netizen tidak juga kurang hebatnya, apabila mereka mempertikaikan tawaran pertukaran tersebut. Namun, itu saja tidak cukup untuk menghentikan kegilaan Ahmadnasruddin terhadap Yamaha RX-Z Catalyzer yang sudah lama diidamnya.

Dengan jumlah model itu yang didakwa semakin kurang, pasti harga RX-Z akan terus melambung tinggi berikutan permintaan yang banyak.

Google ads
Back to top button