Motosikal

TERKINI: CFMOTO 800 MT-X 2025 DIUMUMKAN, MASUK MALAYSIA APRIL INI

CFMOTO dengan rasminya memperluas tawaran motosikal untuk pasaran global kali ini menerusi CFMoto 800MT-X 2025 yang telah membuat debut rasmi di Litar Portimao, Portugal. Lebih menarik, kami difahamkan bahawa model baharu ini akan turut dilancarkan di Malaysia seawal April ini.

Menurut sumber, varian terbaru dari keluarga 800MT ini akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia sekitar bulan April ini. Ketika artikel ini ditulis, juara rali Mentakab, Abang Japar, sedang berada di Portugal bagi menguji kemampuan motosikal baharu ini. 

Atas kertas, 800MT-X berkongsi kebanyakan kelengkapan dan ciri sama dengan 800MT termasuk enjin parallel-twin 799cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 95hp pada 8,500rpm dan 87Nm pada 6,750rpm. Sekadar perbandingan, 800MT Explorer yang ditawrakan di Malaysia ketika ini menawarkan 90hp pada 9,250rom dan 75Nm pada 8,000rpm. Menurut CFMOTO, enjin ini juga mencapai standard emisi Euro 5+ terbaru. 

Pakej suspensi pula terdiri dari fork USD boleh laras sepenuhnya (compression/rebound) 48mm depan dan penyerap hentak belakang boleh laras dengan masing-masing menawarkan jarak gerak 230mm. Brek pula merangkumi caliper brek radial yang dipadankan dengan cakera 320mm depan dan brek 2-piston belakang dengan cakera 260mm. 

Kerangka utama dan ‘subframe’ juga lebih ringan dengan CFMOTO mendakwa hanya seberat 15.1kg. 

Selain itu, ciri utama membezakan 800MT-X dengan varian 800MT lain adalah saiz rim yang terdiri dari rim 21-inci depan dan 18-inci belakang. Penggunaan rim yang lebih besar juga menyaksikan 800MT-X hadir dengan jarak kelegaan tanah yang lebih baik denngan 240mm. 

Turut mencuri tumpuan adalah pakej elektronik dengan 800MT-X dilengkapi dengan sistem berikut secara standard:

  • ABS
  • cornering ABS
  • TPMS
  • traction control 
  • klac slipper
  • 3-mod menunggang
  • cruise control 
  • quickshifter

Turut melengkapkan imej ‘adventure’ dan gaya lasak adalah kehadiran skrin TFT 7-inci jenis menegak yang boleh dihubungkan ke telefon pintar menerusi aplikasi CFMOTO Ride. 

Buat masa ini belum ada jangkaan harga yang boleh dikongsikan namun kami difahamkan perkara itu masih lagi dalam peringkat perbincangan. 

GALERI: CFMOTO 800MT-X 2025

Google ads
Back to top button