Buletin

PROTON X-SERIES KEKAL JADI PILIHAN PENGGUNA, TEGUH HARUNGI PERSAINGAN SEGMEN SUV

Sejak memperkenalkan SUV pertamanya, Proton X70, pada 2018, PROTON terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri automotif tempatan.

Kerjasama dengan Geely bukan sahaja memacu jenama ini kembali ke landasan kejayaan, malah menjadikannya antara pengeluar kenderaan terkemuka di Malaysia.

Dalam tempoh tujuh tahun, PROTON telah memperkenalkan tiga model SUV utama—X70, X50, dan X90—setiap satu menerima penambahbaikan bagi memastikan daya saing di pasaran yang semakin sengit.

Proton X50 Terus Mendominasi Pasaran

Proton X50 kekal sebagai pilihan utama dalam segmen SUV kompak, dengan 23,647 unit terjual sepanjang 2024.

Lebih mengagumkan, model ini mempertahankan takhta sebagai SUV segmen B terlaris di Malaysia sejak 2021, walaupun persaingan dari jenama lain semakin meningkat.

Tambahan, pelancaran Proton X50 versi 2024 pada 4 Jun mendapat sambutan luar biasa, dengan lebih 8,000 tempahan dalam tempoh sebulan, membuktikan popularitinya yang tidak luntur.

Bagi varian X50 Edisi Sport (SE) yang diperkenalkan pada 17 Januari 2025, PROTON mencatatkan 941 tempahan dalam masa kurang sebulan, dengan 299 unit telah dihantar kepada pemilik.

Model ini menawarkan reka bentuk lebih sporty dan eksklusif, tanpa menjejaskan prestasi, teknologi keselamatan, dan keselesaan pemanduan.

Menurut kajian yang melibatkan lebih 1,300 pemilik Proton X50, sebanyak 43 peratus memilih SUV ini kerana kelengkapan cirinya yang lebih baik berbanding pesaing, sementara 35 peratus tertarik dengan prestasi enjinnya.

Selain itu, 30 peratus pelanggan menghargai kecekapan bahan api dan kualiti perkhidmatan selepas jualan yang disediakan oleh PROTON.

Lebih menarik, 80 peratus pembeli X50 sebelum ini adalah pengguna jenama lain, dengan 38 peratus merupakan pembeli kereta kali pertama, 38 peratus menggantikan kenderaan lama, dan 25 peratus membeli sebagai kenderaan tambahan untuk keluarga.

Proton X90 Menjadi Pilihan SUV Keluarga

Dalam segmen SUV lebih besar, Proton X90 terus mengukuhkan kehadirannya sejak dilancarkan dua tahun lalu. Sepanjang 2024, sebanyak 3,553 unit telah diserahkan kepada pelanggan.

Keputusan pembelian X90 banyak dipengaruhi oleh faktor prestasi, ruang kabin yang luas, dan nilai pembelian yang berbaloi.

Kajian menunjukkan bahawa 30 peratus pembeli tertarik dengan pengalaman pemanduan yang stabil, manakala 27 peratus memilih X90 kerana kapasiti ruang serba luas serta kelengkapan ciri lebih baik berbanding pesaing.

Sebilangan besar pembeli X90 juga terdiri daripada pemilik kenderaan jenama lain, dengan hanya 17 peratus merupakan pelanggan setia PROTON sebelum ini.

Proton X70 2025 – Kecekapan dan Teknologi Ditingkatkan

Model terbaru dalam barisan SUV PROTON, Proton X70 2025, dilancarkan pada Ogos 2024 dan mencatatkan jualan 5,628 unit, merangkumi 62.6 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan model X70 pada tahun tersebut.

Tinjauan ke atas pelanggan X70 mendapati bahawa 30 peratus memilih SUV ini kerana kecekapan bahan api, 28 peratus menyukai kelengkapan ciri, dan 23 peratus tertarik dengan prestasi pemanduan.

X70 2025 tampil dengan rekaan luaran yang diperbaharui, kelengkapan kabin lebih moden, serta sistem keselamatan ADAS Tahap 2 versi dipertingkatkan.

Seperti X50 dan X90, majoriti pembeli X70 juga merupakan pelanggan baharu bagi jenama PROTON, dengan 86 peratus daripadanya berasal dari pengguna jenama lain.

Dengan kejayaan berterusan model X-Series, PROTON membuktikan kemampuannya untuk bersaing dalam pasaran SUV yang semakin mencabar.

Keutamaan terhadap inovasi, teknologi moden, dan penawaran nilai terbaik kepada pengguna menjadikan jenama ini pilihan utama rakyat Malaysia yang mencari kenderaan praktikal, selamat, serta berbaloi.

Google ads
Back to top button