
PUSPAKOM BERI KERJASAMA PENUH KEPADA JPJ DALAM OPS GEMPUR DI SEMUA PUSAT PEMERIKSAAN
PUSPAKOM, sebagai syarikat pemeriksaan kenderaan utama negara, menegaskan komitmennya terhadap integriti dan keselamatan jalan raya dengan memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam pelaksanaan operasi mengejut di semua cawangannya.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, menyatakan bahawa usaha ini selaras dengan matlamat syarikat untuk memastikan setiap kenderaan yang diperiksa memenuhi piawaian keselamatan yang telah ditetapkan.
“Kami menyokong sepenuhnya inisiatif JPJ untuk menguatkuasakan undang-undang dan memastikan ketelusan dalam setiap pemeriksaan yang dijalankan.
“Langkah ini akan membantu memelihara keselamatan jalan raya serta memperkukuhkan integriti sistem pengangkutan di Malaysia,” katanya.

Mahmood turut menekankan bahawa PUSPAKOM sentiasa mematuhi standard operasi prosedur (SOP) yang ketat dalam menjalankan tugas mereka.
Operasi mengejut JPJ ini dilihat sebagai satu usaha positif untuk memastikan semua proses pemeriksaan dilakukan dengan telus dan bebas daripada sebarang salah laku.
Dalam perkembangan terkini, PUSPAKOM mengesahkan bahawa dua kakitangan di cawangan Wangsa Maju telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jabatan Penguatkuasaan JPJ pada 31 Disember 2024.
Langkah ini diambil selepas sebuah kenderaan yang diperiksa di cawangan tersebut disita oleh JPJ kerana menggunakan pemandu warga asing tanpa lesen memandu yang sah.
Mahmood menegaskan bahawa PUSPAKOM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku oleh kakitangannya.
“Sekiranya terdapat bukti salah laku, tindakan tegas akan diambil mengikut terma dan syarat kontrak pekerjaan, termasuk penggantungan atau pembuangan kerja. Kami sentiasa berusaha memastikan integriti pemeriksaan kami terjaga,” ujarnya.









