PENYUDAH YANG BERBEZA SELEPAS PUSINGAN 3 TOYOTA VIOS CHALLENGE
Hari kedua dan terakhir berakhirlah pusingan ketiga Toyota Vios Challenge yang diadakan sempena dengan Toyota Gazoo Racing Festival di stadium Batu kawan semalam. Aksi-aksi dalam kategori Super Sporting, Sporting dan Promotional Class memang berakhir dengan cukup dramatik dan berjaya mencuri perhatian hamper 15,000 orang penonton.
SUPER SPORTING CLASS
Dalam kategori Super Sporting, Freddie Ang yang memandu untuk Telagamas Toyota berjaya memenangi perlumbaan kedua ini di hadapan William Ho dari Toyotsu dan penyandang juara, Boy Wong.
Freddie bermula dengan baik dan memecut laju meninggalkan pelumba lain seawal pusingan pertama sehinggalah pusingan 22 dengan diikuti oleh Ho tetapi gagal mencari peluang untuk mengatasi Freddie.
Perlumbaan kedua juga tidak berpihak kepada pemenang perlumbaan pertama, Tengku Djan Ley yang terbabas seawal pusingan pertama. Kerosakan pada bahagian tayar belakang memaksa beliau memasuki pit dan ketinggalan dua pusingan berbanding pelumba lain.
SPORTING CLASS
Persaingan dalam Sporting Class turut sengit dengan dua insiden yang membuatkan kereta keselamatan terpaksa memasuki litar. Ia berikutan 6 buah kereta yang berlanggar sesama sendiri seawal pusingan kedua.
Perlumbaan kemudian disambung di belakang kereta keselamatan dengan 4 daripada 16 kereta terkeluar daripada persaingan.
Insiden kedua kereta keselamatan masuk ke litar ialah apabila kereta yang dipandu oleh Shanmuganathan Arumugam berpusing dan menyebabkan perlumbaan tergendala seketika sebelum disambung kembali sebaik kereta keselamatan meninggalkan litar.
Perlumbaan in dimenangi oleh Bradley Benedict diikuti oleh Tom Goh dan Haji Sutan Mustaffa.
PROMOTIONAL CLASS
Promotional Class tidak kurang hebatnya bila selebriti seperti Shukri Yahaya, Nabil Ahmad dan Shawn Lee sekali lagi berjaya mengungguli pelumba lain dalam perlumbaan sebanyak 20 pusingan.
Shukri berjaya membuktikan kehebatan bila berjaya muncul juara walaupun bermula di petak keempat di belakang Janna Nick, Nabila Razali dan Wany Hasrita. Ketiga-tiga pelumba wanita terpaksa berundur bila diasak oleh Shukri, Nabil dan Lee sekaligus membolehkan ketiga-tiga pelumba lelaki merangkul tempat ketiga-tiga tempat teratas.
PROMOTIONAL CLASS
1. Shukri Yahaya
2. Nabil Ahmad
3. Shawn Lee
4. Diana Danielle
5. Nabila Razali
SPORTING CLASS
1. Bradley Benedict Anthony Dream Chaser
2. Tom Goh S&D Tama Motorsports
3. Haji Sutan Mustaffa SMS Motorsports
4. Adam Khalid Crestmax Motorsports
5. Kenneth Koh Panglima City Racing Team
SUPER SPORTING CLASS
1. Freddie Ang Telagamas Toyota
2. William Ho Toyotsu
3. Boy Wong
4. Syafiq Ali M7 Japan Project Team
5. Mark Darwin Laser Motor Racing